Media Kanada saman OpenAI atas dakwaan pelanggaran hak cipta
Bernama
November 30, 2024 12:40 MYT
November 30, 2024 12:40 MYT
HAMILTON: Lima penerbit berita Kanada bertindak memfailkan saman terhadap OpenAI, mendakwa syarikat itu melanggar hak cipta, lapor Agensi Anadolu.
Ringkasan AI
- Lima penerbit berita Kanada menuduh OpenAI melanggar hak cipta dengan menggunakan kandungan mereka tanpa kebenaran atau pampasan untuk membangunkan produk seperti ChatGPT.
- Penerbit menegaskan bahawa kewartawanan adalah demi kepentingan awam dan penggunaan kandungan mereka oleh OpenAI untuk keuntungan komersial adalah tidak adil dan menyalahi undang-undang.
- Tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Ontario, menuntut ganti rugi punitif dan pembayaran keuntungan yang diperoleh OpenAI daripada penggunaan artikel berita tersebut.
Dalam kenyataan bersama, Torstar, Postmedia, The Globe and Mail, The Canadian Press, dan CBC/Radio-Canada menuduh OpenAI kerap melanggar hak cipta serta syarat penggunaan dalam talian dengan mengambil sebahagian besar kandungan daripada media Kanada untuk membangunkan produknya seperti ChatGPT.
"OpenAI memanfaatkan dan meraih keuntungan daripada penggunaan kandungan ini tanpa mendapatkan kebenaran atau memberi pampasan kepada pemilik kandungan.
"Kenyataan OpenAI yang mendakwa bahawa penggunaan harta intelek syarikat lain untuk keuntungan komersial mereka adalah adil atau demi kepentingan awam adalah salah.
"Kewartawanan adalah demi kepentingan awam. Penggunaan kewartawanan oleh OpenAI untuk keuntungan mereka sendiri bukan sahaja tidak adil tetapi juga menyalahi undang-undang," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa tuntutan terbabit bertujuan untuk menangani penggunaan tidak sah kandungan Kanada serta menguatkuasakan undang-undang negara.
Kelima-lima penerbit menyatakan bahawa mereka melaburkan ratusan juta dolar dalam laporan kritikal, penyiasatan, dan laporan asal yang dilindungi oleh hak cipta.
Tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Ontario, menuntut ganti rugi punitif daripada OpenAI, termasuk pembayaran keuntungan yang diperoleh syarikat itu daripada penggunaan artikel berita organisasi berkenaan.
-- BERNAMA