Media harus perkasa peranan pupuk masyarakat berfahaman sederhana - editor
Bernama
April 18, 2015 08:23 MYT
April 18, 2015 08:23 MYT
Beberapa editor media hari ini mencapai persetujuan bahawa laporan berita, baik daripada arus perdana mahupun alternatif, harus lebih memberi penekanan kepada konsep "penyebaran maklumat yang seimbang".
Mereka menarik perhatian tanggungjawab untuk mendidik masyarakat Malaysia tentang pentingnya mengamalkan kesederhanaan dalam urusan harian perlu dipikul oleh setiap wartawan dan editor termasuk keperluan untuk berhenti menyiarkan pandangan kumpulan ekstremis.
"Kita (telahpun) merasai kemunculan suara ekstremis ini, dan kebanyakan kita berasa terganggu tentang bagaimana negara membentuk, berdasarkan pendapat orang-orang ini.
"Tidak kira apa agama yang kamu anuti, dari negara mana kamu berasal, ada titik persamaan yang merentasi perbezaan termasuk konsep toleransi, pemaafan, menentang rasuah, adil, yang harus dipupuk melalui laporan berita," kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Kumpulan The Star Publication (Malaysia), Datuk Seri Wong Chun Wai, pada perbincangan meja bulat anjuran Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) di sini, hari ini.
Perbincangan meja bulat bertajuk 'Expressing Moderation' turut dihadiri wartawan kanan dan editor termasuk Steven Gan dari Malaysiakini, Sharaad Kutan dari Business Finance Malaysia (BFM) Radio, Terence Fernandez (The Edge Daily), Kamarul Bahrin Haron (Astro Awani) sementara Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Saifuddin Abdullah bertindak sebagai moderator.
Turut dijemput ke forum ialah para editor media ASEAN yang terkenal termasuk editor berita 'The Nation' dari Thailand, Supalak Ganjanakhundee, Felo kanan Institut Keselamatan dan Kajian Antarabangsa, Kavi Chongkittavorn, editor pengurusan 'Jakarta Post', Primastuti Handayani dan wartawan kanan dari 'Philippine Daily Enquirer', Fe B. Zamora.
Dalam ucapan pembukaan, Saifuddin menegaskan bahawa setiap pihak berkepentingan termasuk rakyat serta penggubal dasar, perlu menyedari hakikat bahawa konsep kesederhanaan harus direalisasikan kepada tindakan melalui strategi dan dasar-dasar yang berkesan.
Jika tidak, beliau memberi amaran, kumpulan ekstremis akan mengambil alih konsep dan mendefinisikan atau salah takrif berdasarkan perspektif mereka, yang boleh membawa negara terjerumus ke dalam situasi lebih berbahaya.
Untuk ini, Fernandez menjawab bahawa Malaysia sendiri telah membuktikan, berdasarkan sejarah bahawa ia boleh menetapkan standard kesederhanaan dalam kalangan negara ASEAN berdasarkan masyarakat majmuk di Malaysia yang telah hidup bersama selama bertahun-tahun.
"Dalam ASEAN, kita (rakyat Malaysia) yang mendefinasikan konsep kesederhanaan berdasarkan komposisi penduduk, etnik... kita Malaysia menetapkan keseluruhan standard," katanya.
Sementara itu, Sharaad melahirkan kebimbangan mengenai bagaimana beberapa outlet media di negara ini membenarkan kumpulan ekstremis muncul secara terbuka, dengan memberi lebih banyak publisiti kepada mereka.
Beliau, seperti editor-editor yang lain bersetuju untuk membuat tanggapan bahawa media mempunyai kuasa dan pengaruh sebenar untuk memerangi fahaman ekstremisme dan memajukan negara.