Media, dunia kewartawanan perlu lalui cabaran transformasi maklumat - Penganalisis

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 28, 2022 08:50 MYT
Dapatan kajian Barometer Kepercayaan Edelman 2022 memberi bayangan bahawa, cara dan gaya penyampaian maklumat oleh media baharu mungkin lebih mampu menarik kepercayaan orang ramai. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Skor indeks yang menunjukkan bahawa tahap kepercayaan terhadap kerajaan dan media ketika ini mengalami penurunan adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
Menurut penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian, aktiviti kewartawanan kebelakangan ini melalui satu fasa transformasi di mana platform digital, termasuk media sosial, berkembang begitu pesat.
Dengan kepantasan perkembangan elemen tersebut, katanya, menyebabkan ia menjadi satu instrumen komunikasi dan informasi yang kian mendapat tempat dalam dunia maklumat hari ini.
"Barangkali, kebergantungan terhadap maklumat daripada landasan digital telah menyebabkan kepercayaan ke atas media, dan kewartawanan itu, menurun.
"Apakah juga, mungkin dalam suasana kita berhadapan dengan pandemik, ketika kita berhadapan dengan keadaan tidak menentu dan tidak stabil, terlahirlah pihak yang kurang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita-berita palsu sehingga ia melangkaui berita benar yang cuba dibawa agensi media berdaftar?" soalnya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, kemungkinan penurunan indeks yang berlaku itu juga turut disumbangkan oleh perang saraf yang berlaku dalam platform media ketika ini.
Bagaimanapun, jelasnya, dapatan kajian Barometer Kepercayaan Edelman 2022 itu memberi bayangan bahawa, cara dan gaya penyampaian maklumat oleh media baharu mungkin lebih mampu menarik kepercayaan orang ramai.
Pada masa sama, kata Sivamurugan, ia menimbulkan persoalan mengenai perlunya perubahan dari segi penyampaian dalam kalangan media konvensional ketika ini.
"Tetapi, dalam konteks apa sekalipun, kepercayaan kepada media banyak bergantung kepada cara penyampaian dan bagaimana kita mampu memastikan pemprosesan maklumat itu masih merangkumi suasana dan keadaan sebenar.
"Dan bagaimana untuk tidak membenarkan berita-berita palsu tersebar dengan meluas," katanya lagi.
BACA: Barometer Kepercayaan Edelman 2022: Tahap kepercayaan terhadap kerajaan dan media menurun
Malah, katanya, satu mekanisme baharu perlu difikirkan untuk memastikan suasana lambakan berita palsu di platform digital tidak mencapai tahap yang boleh menenggelamkan reputasi media atau kewartawanan sebenar.
Justeru, beliau juga menyokong agar mereka yang bertanggungjawab ke atas isu tersebut melakukan sesuatu bagi memastikan berita dan maklumat tidak sahih tidak dengan bebas disebarkan mana-mana pihak.
#Astro Awani #berita palsu #Astro #Hawana
;