Media cetus minda masyarakat kreatif dan kritis - Aminuddin

Bernama
Mei 14, 2024 09:00 MYT
Aminuddin (dua, kanan) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan, Nursyabiha Sukri (dua, kiri) pada Majlis Apresiasi Media Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, malam tadi. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Media berperanan menjadi wadah pencetus pembentukan minda masyarakat ke arah lebih kreatif dan kritis.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata media juga merupakan ejen kepada negara, dalam mendidik serta menyedarkan masyarakat.
Beliau berkata masyarakat bukan sekadar hanya membaca dan melihat maklumat yang dipaparkan oleh media semata-mata, tetapi menyedarkan masyarakat dengan isu pembangunan insan dan negara.
"Semua bahan cetak sebelum ini menjadi pilihan rakyat, telah diubah ke bentuk digital telah memudahkan capaian berita dan informasi di hujung jari.
"Media juga merupakan pemain utama kepada pembangunan minda rakyat, yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Apreasiasi Media bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Turut hadir Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim, pada majlis anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Negeri Sembilan.
Antara media diraikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Media Prima, Awani, Media Mulia, Sinar Harian dan Sin Chew Daily dan pengamal media yang lain.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata negeri itu mempunyai pelbagai berita dapat diketengahkan di peringkat nasional, terutamanya prestasi negeri yang menjadi tumpuan para pelabur dengan pembukaan pelbagai kawasan perindustrian baharu.
"Saya dan rakan-rakan pentadbiran negeri ini sedaya upaya untuk memberikan kerjasama yang terbaik sepanjang kami mentadbir negeri ini. Ruang malam ini harus saya manfaatkan untuk kita lebih mengenali semua pihak media yang hadir," katanya.
-- BERNAMA
#Media #minda masyarakat #kreatif #kritis
;