Media cetak mampu bertahan untuk tempoh sedekad lagi atau lebih - Wartawan veteran
Bernama
Mei 26, 2023 04:44 MYT
Mei 26, 2023 04:44 MYT
KUALA LUMPUR: Media cetak diramalkan mampu bertahan dalam tempoh sedekad lagi atau lebih lama kerana akhbar sentiasa dianggap sebagai medium himpunan data atau maklumat untuk pelbagai agensi termasuk badan kerajaan, perpustakaan dan institusi pengajian tinggi.
Wartawan veteran Balan Moses berkata aspek mampu bertahan yang dimiliki akhbar amat penting berbanding sifat tidak kekal kewartawanan dalam talian kerana ia sentiasa mengutamakan ketepatan maklumat sejak awal.
"Kewartawanan dalam talian dianggap bersifat tidak kekal kerana apa yang anda lihat ketika ini mungkin tiada lagi dalam tempoh sejam berikutnya susulan pintasan berita atau peristiwa terkini dan komen yang dibuat.
"Jadi, apa yang berlaku dalam tempoh sejam atau 10 jam lepas sudah tenggelam dek masa. Jadi, bagaimana seseorang boleh kembali menghayati sesuatu cerita," katanya ketika menjadi tetamu The Nation terbitan Bernama TV bertajuk 'Is the Death of Print Media Imminent?' di sini semalam.
Ditanya mengenai mesej beliau kepada semua wartawan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2023 (HAWANA) yang bermula hari ini,
Balan yang memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan pada 1978 berkata pengamal media perlu bekerja keras dan teliti dalam apa jua yang mereka lakukan tanpa mengira medium sama ada bercetak, dalam talian atau penyiaran.
"Masa depan negara bergantung kepada apa yang anda laporkan, cara anda menulis laporan itu dan analisis yang anda lakukan agar negara mampu bergerak ke hadapan," katanya sambil menambah HAWANA 2023 sepatutnya disambut oleh wartawan dahulu dan sekarang atas sumbangan mereka kepada negara.
Balan berkata tugas wartawan dan khidmat yang mereka sediakan kepada pembaca telah membentuk negara ini sejak 50 hingga 60 tahun lepas.
HAWANA 2023 akan berlangsung di Ipoh, Perak bermula hari ini hingga 29Mei dan bakal menyaksikan pemain industri serta pakar lain membincangkan survival media tradisional dalam era digital serta cara untuk menarik hasil iklan menerusi forum bertajuk 'Future of Media.'
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung Karnival Mini Hawana yang berlangsung selama dua hari bermula 27 Mei ini dari 10 pagi hingga 6 petang di Concourse 2, Mydin Mall Meru.
Terdahulu, Penganalisis Pengurusan Krisis Nordin Abdullah ketika menjadi tetamu program The Brief terbitan Bernama TV berkata media konvensional perlu memikirkan keputusan strategik dan memperuntuk sumber bagi memastikan apa yang dipapar di platform media sosial mereka adalah efisien serta diurus dengan baik dari segi etika dan standard kewartawanan.
Ditanya mengenai cabaran dalam membicarakan topik sensitif di negara ini, beliau berkata wartawan yang bijak akan tahu cara untuk menonjolkan isu itu serta menanganinya dengan kaedah bersesuaian dengan budaya kita.
"Jika kita melihat sejarah beberapa peristiwa besar di Malaysia, wartawan ternyata telah memainkan peranan penting dalam isu-isu yang turut menjadi perhatian dunia. Malaysia boleh melakukannya. Kita sudah melakukannya sejak sekian lama, jadi kita mampu menangani sensitiviti budaya," katanya.
-- BERNAMA