Media bukan corong propaganda pemerintah dan bukan lidah rasmi pembangkang - Johan Jaaffar
Kenyataan Media
Julai 13, 2023 18:51 MYT
Julai 13, 2023 18:51 MYT
Berikut adalah kenyataan rasmi daripada Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar:
SAYA menghargai kenyataan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli bahawa tidak mudah menjadi akhbar neutral di Malaysia.
Nampaknya banyak pihak, khususnya pimpinan politik, yang masih terperangkap dengan mindset lama - bahawa akhbar yang menyokong adalah kawan, sementara yang kritikal punya agenda tersendiri.
Hal ini lebih lantang berkumandang menjelang pilihan raya - dan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak terkecuali.
Hakikatnya, sewaktu menjadi pembangkang, sikap kritikal media dianggap baik dan dipuji, tetapi apabila berkuasa, akhbar yang sama, dianggap 'anti-pemerintah'.
Kita hidup dalam era yang berbeza sama sekali dan dalam era Internet di mana pengaruh media sosial begitu menonjol sekali, semua pihak harus menerima hakikat media harus bebas dan terbuka.
Media bukan corong propaganda pemerintah dan bukan lidah rasmi pembangkang.
Media yang bebas merupakan pra-syarat demokrasi yang sihat dan berfungsi.
Kita tidak boleh kembali pada era penguasaan total pemerintah ke atas media. Zaman itu telah berakhir.
Sejak tahun 2018, kita melihat kebebasan baharu yang sangat memberangsangkan. Dunia media lebih vibrant dan bersemarak dengan keterbukaan itu.
Sejak mengambil alih pemerintahan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan kebebasan untuk para wartawan beroperasi dalam eko-sistem yang segar dan kondusif.
Kita melihat bagaimana Indeks Kebebasan Media telah menunjukkan peningkatan positif bagi negara kita. Hal ini harus dipertahankan.
Namun demikian, pengamal media harus juga sedar kebebasan media harus datang dengan tanggungjawab.
Selain menjadi mata dan telinga rakyat dalam memastikan keadilan, mengelakkan salah laku dan rasuah, para wartawan juga harus sentiasa bertindak secara profesional dan bertanggungjawab.