Media boleh tegur, beri pendapat kepada kerajaan N.Sembilan - MB
Bernama
Jun 10, 2018 05:33 MYT
Jun 10, 2018 05:33 MYT
Media boleh menegur, memberi cadangan dan pandangan kepada kerajaan negeri dalam usahanya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Sehubungan itu, beliau berkata media perlu lebih terbuka dalam laporannya dengan memberi gambaran tentang keadaan sebenar yang berlaku di negeri ini.
"Kita hendak ada sedikit kebebasan untuk memastikan laporan media itu dibuat dengan rasa tanggungjawab. Media perlu ada rasa tanggungjawab atas setiap laporan (berita) untuk memastikan perkara sensitif tidak ditonjolkan dengan keterlaluan.
"Sensitiviti ini harus dijaga terutamanya apabila ia melibatkan agama dan kaum...saya berharap perkara ini harus dijaga kerana keharmonian itu lebih utama supaya rakyat hidup dalam keadaan aman damai," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan tidak rasmi ke Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad dan beramah mesra dengan kakitangan Jabatan Penyiaran Negeri serta mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kelab Akhbar Negeri Sembilan (Kelana). Turut hadir Pengarah Penyiaran negeri Zainal Abidin Asri Abd. Wahid.
Aminuddin berkata peranan media penting untuk menyalurkan maklumat supaya rakyat sentiasa dikemaskinikan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Mengenai Radio NegeriFM, beliau berkata stesen radio tempatan itu perlu merancang untuk membuat penambahbaikan program siarannya dalam usaha menarik lebih ramai pendengar terutama kalangan generasi muda.
Beliau turut menyambut baik rancangan Kelana mengadakan Anugerah Media Negeri Sembilan setiap tahun bagi menghargai sumbangan pengamal media di negeri ini.
Sementara itu, Aminuddin menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebantak RM200 seorang kepada 15 asnaf daripada kariah Surau Al-Mustofa di sini.
"Saya berharap dengan sumbangan ini, mereka dapat meraikan Aidilfitri walaupun dalam keadaan yang sederhana," katanya pada majlis sumbangan asnaf sempena Aidilfitri di sini anjuran Surau Al-Mustofa.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan Dr Rafie Abdul Malek. -- Bernama