Media berperanan angkat agenda penyatuan - Dr Wan Azizah

Wan Syamsul Amly
Julai 2, 2019 15:00 MYT
Kata Dr Wan Azizah, peranan media amat mustahak demi memperkukuh hubungan dalam sesebuah institusi masyarakat. - Gambar BERNAMA
Media memainkan peranan penting khususnya dalam mengangkat agenda penyatuan demi mewujudkan keseimbangan dan mengekalkan keamanan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia merupakan asas kehidupan masyarakat madani yang harmoni, hidup dengan bertoleransi dan sering bermuafakat.
Menurut beliau, peranan media perlu demi memperkukuh hubungan dalam sesebuah institusi masyarakat.
"Kita menjadi sasaran semasa kita merupakan pihak pembangkang. Sekarang kita menjadi pihak kerajaan tetapi kita tetap menjadi sasaran.
"Sesungguhnya mata pena itu jauh lebih tajam dari mata pedang, tetapi jika benar-benar dimanfaatkan, mata pena juga mampu memuncakkan kebahagiaan yang berpanjangan," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama media di Parlimen pada Selasa.
Media, bagaimanapun, kata Dr Wan Azizah, bebas untuk memberi kritikan namun perlu berlandaskan pada kebenaran dan keadilan.
"Kita menginsafi keadaan di banyak negara luar di mana institusi masyarakatnya kacau-bilau, kucar-kacir dan keamanan yang diimpikan semakin jauh.
"Justeru bersyukurlah, walaupun kita hidup berbilang bangsa, pelbagai agama dan latar belakang, namun kita berjaya mengekalkan keharmonian dan keamanan sejagat.
"Inilah hasilnya jika amalan saling memaafkan terus dipelihara bukan hanya sekadar meraikan hari raya," ujar beliau lagi.
#agenda #kerajaan #Media #Parlimen #pembangkang #Wan Azizah
;