Media berkumpul di Subang Skypark susulan desas-desus Najib tinggalkan negara

Bernama
Mei 12, 2018 10:30 MYT
Keadaan di luar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pagi ini. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Wartawan media tempatan dan antarabangsa berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dekat sini sejak awal pagi susulan desas-desus bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan meninggalkan negara.
Gambar sesuatu yang menyerupai manifes penerbangan menyenaraikan Najib dan Rosmah sebagai antara penumpang, tersebar sejak semalam.
Ia didakwa menunjukkan waktu ketibaan 6 pagi sebuah pesawat di lapangan terbang yang juga dikenali sebagai Subang Skypark itu serta waktu ia berlepas empat jam kemudian ke Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Indonesia.
Dalam catatan Twitter beliau, Najib yang merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau akan mengambil cuti pendek untuk meluangkan masa dengan keluarganya.
BACA: Kecewa dengan keputusan PRU, Najib mohon maaf sebelum keluar bercuti
"Selepas empat dekad dalam politik dan juga kempen pilihan raya baru-baru ini yang malangnya bersifat peribadi serta barangkali paling sengit dalam sejarah Malaysia, saya akan bercuti rehat sekejap untuk meluangkan masa dengan keluarga saya yang agak kurang didamping dalam tahun-tahun kebelakangan ini," katanya.
Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei menyaksikan kerajaan BN pimpinan Najib yang memerintah Malaysia selama enam dekad ditumbangkan oleh apa yang disifatkan sebagai 'tsunami rakyat'.
Pada malam Khamis, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, 92 tahun, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara, pelantikan kali kedua beliau sebagai ketua kerajaan. Beliau merupakan perdana menteri dari 1981 hingga 2003.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Indonesia #Media #Najib Razak #penerbangan #pesawat #Subang Skypark
;