Media alternatif patut contohi arus perdana, jangan salah guna kebebasan - Zahid Hamidi

Bernama
September 10, 2015 00:40 MYT
Ahmad Zahid ketika merasmikan majlis Anugerah Tokoh Wartawan Negara 2014, pada Khamis - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata media bukan arus perdana tidak seharusnya menggunakan kebebasan berkarya hingga meruntuhkan negara.
Beliau berkata gesaan ini bukan kerana ingin menyekat kebebasan tetapi sekadar ingatan bahawa pentingnya untuk mengendalikan organisasi media dengan penuh rasa bertanggungjawab terhadap negara dan kepentingan rakyat.
Wartawan perlu sentiasa bertanggungjawab atas segala tulisan dan pada masa yang sama memperkukuh dan meningkatkan identiti serta jati diri, katanya ketika merasmikan majlis Anugerah Tokoh Wartawan Negara 2014, di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata media bukan arus perdana boleh mencontohi etika kewartawanan yang ditunjukkan media arus perdana dalam menjalankan tanggungjawab walaupun terdapat perbezaan.
"Pada hemat saya, mereka yang berada dalam dunia kewartawanan maya ini harus belajar dari etika kewartawanan media perdana.
"Walaupun berbeza pendapat, mereka (arus perdana) tetap menulis dan sampaikan dengan menjaga etika kewartawanan dengan baik. Itulah yang harus dijadikan contoh," kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri.
Beliau menegaskan perbezaan pendapat perlu diselesaikan dan ditangani dengan baik, tatasusila dan kebijaksaan supaya nilai-nilai harmoni dan etika dapat dijaga tanpa mengira bangsa dan agama.
Beliau mengingatkan pengamal media supaya tidak menjadi penyampai mesej yang mengadu-domba, memesongkan isu dan menimbulkan kacau bilau selain 'kering jiwa' serta tidak nasionalistik.
Katanya ada usaha sesetengah pihak sejak akhir-akhir ini melalui media baharu untuk menggambarkan Malaysia sebagai kucar-kacir, porak-poranda dan sebuah negara yang gagal.
Selain itu, katanya, "perbicaraan media tentang betul atau salah seseorang" semakin meningkat kebelakangan ini dan ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak beretika.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada bekas Ketua Pengarang Bernama, yang juga bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Rejal Arbee, dan wakil bekas Pengarang Bersekutu The New Straits Times, Allahyarham Zainon Ahmad.
Anugerah itu sebagai menghargai sumbangan dua wartawan veteran itu dalam bidang kewartawanan tanah air sejak empat dekad lalu
Pada majlis itu, hadiah wang tunai RM30,000 serta sijil penganugerahan Tokoh Wartawan Negara Bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia 2015 diberikan kepada Ahmad Rejal dan ahli keluarga Allahyarham Zainon.
Antara wartawan veteran yang pernah menerima anugerah berkenaan ialah Tan Sri A.Samad Ismail, Tan Sri Lee Siew Yee, Tan Sri Mazlan Nordin, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk Liew Chen Chuan.
Ahmad Rejal adalah antara pengamal media awal yang meneroka konsep media dwibahasa dan juga antara kakitangan pengasas BERNAMA.
Sementara itu, Allahyarham Zainon yang menerima anugerah berkenaan secara posthumus dikenali sebagai kolumnis yang sering melontarkan pandangan kritikal dalam usaha untuk menyatukan negara.
#Anugerah Tokoh Wartawan Negara 2014 #Dr Ahmad Zahid Hamidi #Media
;