Media akan diberi taklimat kesiapsiagaan COVID-19 Selasa depan
Umavathi Ramayah
Januari 6, 2023 10:50 MYT
Januari 6, 2023 10:50 MYT
PUTRAJAYA: Pengukuhan kesiapsiagaan COVID-19 akan diumumkan dalam taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama media, Selasa depan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beberapa perkara penting termasuk isu memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di pintu masuk negara akan dijelaskan dengan lebih terperinci dalam taklimat berkenaan.
“Semua (SOP) akan dijelaskan pada Selasa ini. Insya-Allah kita akan perkemaskan seperti yang diminta oleh Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Zaliha berkata, KKM menilai secara dekat perkembangan mutakhir jangkitan COVID-19.
China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada Ahad ini, selepas hampir tiga tahun ditutup susulan pandemik COVID-19.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperketatkan pemeriksaan COVID-19 di pintu masuk utama negara termasuk melakukan ujian suhu.
Menurutnya, kerajaan tidak akan mendiskriminasi mana-mana negara termasuk China, daripada memasuki Malaysia, susulan peningkatan kes COVID-19 di negara itu.