Medan selera Taman Lembah Keramat terbakar
Sinar Harian
Julai 27, 2024 09:10 MYT
Julai 27, 2024 09:10 MYT
AMPANG: Lapan gerai di medan selera Taman Lembah Keramat, di sini, musnah dalam kebakaran pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 5.49 pagi
"Seramai 18 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang serta bantuan dari BBP Pandan dan Wangsa Maju bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran melibatkan bangunan kelas A yang dianggarkan musnah 80 peratus.
"Kejadian itu tidak melibatkan mangsa, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," ujarnya. - Sinar Harian