Medan selera kompleks beli-belah gaji pendatang tanpa izin digempur

Bernama
Jun 21, 2024 22:27 MYT
Sebanyak 16 pendatang tanpa izin dan dua warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi di medan selera sebuah kompleks beli-belah di Taman Melati hari ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pendatang tanpa izin dan dua warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi di medan selera sebuah kompleks beli-belah di Taman Melati di sini hari ini.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata hasil pemeriksaan mendapati hampir keseluruhan lot di medan selera tersebut menggajikan pendatang tanpa izin.
Beliau berkata 23 pendatang tanpa izin dan tujuh warga tempatan diperiksa dalam operasi itu yang bermula kira-kira 3 petang tadi.
"Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 22 hingga 45 tahun terdiri daripada 10 lelaki warga Bangladesh, masing-masing seorang lelaki warga Indonesia, India dan Pakistan serta dua lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai majikan selain tiga wanita warga Indonesia.
"Semua pendatang tanpa izin itu dibawa ke Kompleks Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi bagi siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya kepada pemberita selesai operasi itu di sini.
Mohammed Wan Saupee mengingatkan kepada pemilik premis dan majikan bahawa jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melindungi pendatang tanpa izin atau membenarkan, memasuki dan berada di dalam premis tanpa dokumen yang sah.
-- BERNAMA
#medan selera #Kompleks Beli Belah #pendatang tanpa izin #Imigresen
;