Medan Niaga Satok, Kuching ditutup lagi

Munirah Mudzamli
Julai 30, 2021 20:15 MYT
Dr Eunice Melissa Joseph itu bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja pencegahan penyakit berjangkit.
KUCHING: Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching mengarahkan Medan Niaga Satok ditutup selama 14 hari berkuat kuasa esok hingga 13 Ogos ini.
Notis perintah penutupan yang ditandatangani Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Eunice Melissa Joseph itu bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja pencegahan penyakit berjangkit.
Tambahnya, notis perintah penutupan itu juga dibuat di bawah Sub Seksyen 18 (1)(F) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Penutupan premis adalah bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja mencegah bermula atau merebak sesuatu penyakit berjangkit,” katanya pada Jumaat.
Untuk rekod ia merupakan penutupan kali kedua premis tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.
Sementara itu terdapat empat lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) bermula dari tarikh 29 Julai hingga 16 Ogos.
Empat lokaliti tersebut adalah Kuarters Pekerja KL Engineering Sdn Bhd, Bintulu, Kuarters Pekerja Parasmak Plywood Sdn Bhd, Bintulu, Rh. Gilbert Melina, Kampung Rawan Ili, Tanjut Bijat, Sri Aman, dan Rh. Pitre Ambit Tinting Mawang, Jalan Petai, Sarikei.
PKPD di Kampung Seratau, Daerah Kecil Padawan, Kuching, turut dilanjutkan bermula 31 Julai hingga 13 Ogos.
Hari ini Sarawak merekodkan 450 kes positif baharu dengan 191 kes dikesan di Daerah Kuching sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu sebanyak 76,243 kes.
#medan niaga satok #Kesihatan Bahagian Kuching #Dr Eunice Melissa Joseph #penyakit berjangkit #COVID-19 #PKPD
;