Mead Johnson tawar penggantian bagi susu rumusan bayi Enfalac
Bernama
Disember 15, 2017 04:00 MYT
Disember 15, 2017 04:00 MYT
Mead Johnson Nutrition Malaysia (MJN) menasihatkan pengguna dan peruncit di seluruh negara supaya memulangkan produknya; Enfalac A+ Step 1 Infant Formula dalam pek 1.8 kg untuk penggantian segera.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, MJN berkata program penggantian produk sedang dijalankan susulan siasatan untuk menghapuskan produk tiruan dan setakat ini mengenal pasti sebilangan kecil produk disyaki tiruan dijual di beberapa kedai runcit di Johor.
Menurut kenyataan itu, MJN segera memperluaskan aktiviti sokongan pengguna melalui Program Penggantian Produk secara sukarela yang bermula Jumaat.
"Oleh kerana produk tiruan tidak dapat dikenal pasti dengan mudah tanpa membuka karton, kebimbangan pengguna hanya boleh ditangani dengan diatasi sepenuhnya melalui Program Penggantian Produk.
"Matlamat program ini ialah untuk melupuskan karton tiruan dari pasaran dan membolehkan pengguna mendapatkan hanya produk MJN yang tulen, berkualiti tinggi yang selamat dan sesuai digunakan bagi setiap label produk," kata kenyataan itu.
Sebanyak 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dilaporkan dirampas di Johor baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, MJN akan mengumpulkan semua stok produk sedia ada dari kedai runcit dan menukarkannya dengan produk gantian selaras dengan mekanisme program yang kini dimaklumkan kepada peruncit.
Pengguna boleh menghubungi 1-800-88-3585 (Isnin-Ahad, 9 pagi-11 malam) atau melengkapkan borang dalam talian di www.enfagrow.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemulangan produk dan arahan penggantian. -- Bernama