MDX 2024: Memperkasa kepimpinan digital dan pertumbuhan ekonomi negara
Amzar Alif
Oktober 29, 2024 14:11 MYT
Oktober 29, 2024 14:11 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Digital (KD) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024 bertujuan memperkukuhkan landskap digital negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata persidangan ini menggariskan lima bidang transformasi utama iaitu Data Trust, Next-Gen Computing, Computer Vision, Metaverse, dan Digital Twins.
Menurutnya, inisiatif ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi digital serantau, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi di peringkat global.
“Pada masa ini, kita berusaha untuk membina asas yang kukuh sambil meneroka teknologi penting masa kini dan masa depan seperti AI dan Generative AI.
“Kita semua dapat melihat bagaimana Kecerdasan Buatan (AI) membuka peluang inovatif dalam pelbagai bidang, daripada perniagaan dan pembuatan hingga penjagaan kesihatan,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024 pada Khamis.
Jelasnya, penerapan teknologi canggih merupakan kunci untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal relevan dan berdaya tahan dalam dunia digital yang semakin mencabar.
Oleh itu, pihak kementerian turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data pada pertengahan tahun 2025.
“Apa yang kami cadangkan adalah untuk menubuhkan jawatankuasa data terlebih dahulu, kami akan mengadakan mesyuarat dengan mereka pada Isnin.
"Jawatankuasa ini akan mencadangkan struktur kepada kami mengenai bagaimana kami seharusnya menyusun suruhanjaya ini ke hadapan.
“Jadi, ini adalah satu proses yang masih berjalan dan diharapkan dalam tempoh tiga bulan akan datang, menjelang akhir tahun, kami akan mempunyai input tentang bagaimana ia seharusnya kelihatan,” tambahnya.
Persidangan selama dua hari ini dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta, termasuk pelabur, usahawan, syarikat pemula, penggubal dasar, dan golongan profesional industri.
MDX 2024 menawarkan pelbagai aktiviti, termasuk ucap tama, perbincangan panel, pameran interaktif, dan sesi rangkaian bernilai tinggi.
Turut hadir, tokoh antarabangsa seperti bekas menteri Perancis untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Inovasi dan Ekonomi Digital, Fleur Pellerin yang berkongsi pandangan tentang dasar-dasar yang memacu inovasi.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrow, Mike Walsh, juga akan hadir bagi berkongsi tentang visinya mengenai pembangunan digital berasaskan AI.
#MDX 2024
#MDEC
#landskap digital
#Gobind Singh Deo
#Suruhanjaya Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data