MDKT siasat anggota penguat kuasa dipercayai mengasari orang awam
Bernama
Ogos 12, 2023 04:40 MYT
Ogos 12, 2023 04:40 MYT
JOHOR BAHRU: Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) menjalankan siasatan susulan video tular yang memaparkan seorang lelaki dipercayai anggota penguatkuasanya melakukan kekerasan terhadap orang awam.
MDKT menerusi kenyataan memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memberi perhatian serius terhadap isu salah laku anggotanya dan siasatan terperinci sedang dijalankan terhadap individu terlibat.
"MDKT mengambil maklum mengenai laporan tersebut (video tular) dan jika didapati bersalah, tindakan akan diambil sejajar dengan peruntukan undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.
Semalam tular rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan lelaki dipercayai anggota penguat kuasa itu mengejar dan bertindak menendang seorang lelaki yang sedang berjalan kaki sambil membawa beberapa barangan. - BERNAMA