MDEC sasar 40,000 peserta sertai JSD tahun ini
Bernama
Februari 3, 2024 06:15 MYT
Februari 3, 2024 06:15 MYT
SEREMBAN: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan 40,000 peserta menyertai program Jelajah Saya Digital (JSD) di 31 lokasi seluruh negara tahun ini.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Negeri Sembilan merupakan lokasi kedua program itu tahun ini bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar kepada rakyat bandar dan luar bandar terutamanya usahawan.
"Seiring visi Malaysia MADANI, keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya dan MDEC akan terus melaksanakan program seperti ini agar peluang pendigitalan dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat," katanya ketika berucap pada Jelajah Saya Digital (JSD) di Mydin Mall Seremban 2 di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Rodzi Md Saad.
Beliau berkata, JSD menumpukan kepada empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Perniagaan, Pendapatan dan Modal Insan.
Syed Ibrahim berkata, antara aktiviti diadakan di JSD@Negeri Sembilan ialah bengkel pengisian literasi digital dan keusahawanan selain pertandingan 'eSport', kaunter fizikal pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) dan pameran agensi kerajaan berkaitan pendigitalan.
"Jadi, peniaga tempatan seharusnya mengambil peluang untuk meraih lebih banyak pendapatan dan meningkatkan jualan menerusi kaedah digital.
Syed Ibrahim berkata program tersebut telah menjelajahi ke 53 lokasi dan berjaya melatih sebanyak 20,334 peserta dari seluruh negara sejak diperkenalkan pada 2021.
Sementara itu, peniaga ketam segar, Ahmad Syazwan, 38, berkata, MDEC banyak membantu dalam aspek pemasaran dan kaedah untuk meningkatkan jualan produknya.
Beliau yang memulakan perniagaan Wanz Ketam Segar Podeksen pada 2019 berkata, kini pendapatan bulanannya mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
"Pelanggan saya tertumpu di Negeri Sembilan, tetapi ada juga pelanggan dari Bangi, Selangor dan saya sedang berusaha untuk meningkatkan hasil tangkapan ketam.
"Hasil tangkapan kira-kira 150 kilogram (kg) sebulan tetapi ia bergantung juga kepada keadaan cuaca...saya jual pada harga RM20 hingga RM45 sekg mengikut saiz ketam," katanya. - BERNAMA