MDEC perkenalkan Hab Digital Malaysia ke-4

Bernama
Julai 20, 2017 19:48 MYT
Inisiatif ini akan membantu syarikat-syarikat teknologi untuk menyambung ke ASEAN dan ekosistem digital global, kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah mengumumkan WORQ, ruang komuniti kerjasama yang produktif sebagai Hab Digital Malaysia yang baharu, bagi menyokong dan menyediakan peluang teknologi dan medan kerjasama digital kepada syarikat permulaan dan masyarakat.
Inisiatif ini akan membantu syarikat-syarikat teknologi untuk menyambung ke ASEAN dan ekosistem digital global, kata MDEC dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WORQ dan Pengasas Bersama, Stephanie Ping berkata hab tersebut menggalakkan penyertaan dari semua syarikat permulaan teknologi, kerana ia memberi tumpuan kepada empat kategori iaitu syarikat permulaan yang sedang berkembang, syarikat teknologi global, syarikat pencepat, pembina bakat dan para pelabur.
WORQ adalah antara empat hab digital di Malaysia, selain daripada APW, The Co. dan Common Ground.
"Dengan memberikan mereka sebuah komuniti yang meriah dan mesra, mereka dapat berinteraksi dan berkembang serta mengembangkan usaha mereka dalam ekosistem yang teguh dan menyokong," kata Ping.
Sementara itu, seramai 15 usahawan teknologi dari Asia menyampaikan idea-idea mereka dalam sesi WORQ hari ini.
CXS Analytics dari Malaysia dan Oceo Water, Singapura telah diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan syarikat permulaan awan bahagian ASEAN Create@Alibaba dan menerima wang kemenangan bernilai AS$50,000 (RM214,000) dan AS$10,000 (RM43,000), masing-masing bagi tempat-tempat pertama dan kedua.
"Mereka akan meneruskan pertandingan pada peringkat kejohanan dunia di Shanghai, China, bersama-sama dengan 12 juara antarabangsa pada bulan Oktober depan," kata MDEC.
-- BERNAMA
#ASEAN #Hab Digital Malaysia #MDEC #worq
;