MDEC meterai MoU dengan GSMA tingkat pembangunan penggunaan 5G

Kenyataan Media
Mac 1, 2023 15:31 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz (kiri) dengan Ketua APAC untuk GSMA, Julian Gorman.
BARCELONA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Groupe Speciale Mobile Association (GSMA) dalam usaha mempertingkat pembangunan penggunaan 5G di negara ini.
Ia sebagai satu langkah komited GSMA untuk berkongsi kes penggunaan sebenar daripada rangkaian luas mereka di samping mempromosikan pelaburan bersandarkan 5G ke Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, pemeteraian di antara dua entiti pemain industri digital itu adalah penting ketika Malaysia sedang mengorak langkah meneroka potensi 5G yang dijangka mencapai 80 peratus liputan menjelang penghujung 2024.
“Penggunaan kes kajian sebenar mempunyai potensi yang sangat besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang signifikan, meningkatkan taraf sosial dan membantu Malaysia dalam mencapai matlamat pembangunan mampan (ESG), selari dengan visi Malaysia MADANI.
“Kami yakin menerusi MoU ini dengan rangkaian meluas, pengalaman dan panduan daripada GSMA, akan meningkatkan keupayaan digital, kemampuan dan nilai dalam ekonomi digital kita.”
MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz dengan Ketua APAC untuk GSMA, Julian Gorman pada Isnin di Kongres Mobil Sedunia (MWC) 2023 yang sedang berlangsung di Barcelona, Sepanyol.
Antara sektor yang akan mendapat manfaat daripada kajian kes penggunaan sebenar ini adalah bandar pintar, industri 4.0, pendidikan, teknologi kesihatan, pemantauan alam sekitar dan keterangkuman sosial.
GSMA juga akan menonjolkan kajian kes di Malaysia untuk siaran segera dan berkongsi mengenainya menerusi laporan-laporan saranan termasuk laporan APAC Mobile Economy dan laporan Digital Societies.
Menerusi MoU ini juga, MDEC dan GSMA akan bekerjasama dalam memacu minat terhadap pelaburan digital sepertimana yang terkandung dalam inisiatif strategik nasional terbaharu, Malaysia Digital, menerusi sektor-sektor tumpuan dan penggerak teknologi.
GSMA mewakili kepentingan pengendali teknologi mudah alih sedunia dengan menyatukan lebih 750 pengendali dengan 400 syarikat dalam ekosistem mudah alih yang meluas, termasuk pembuat telefon bimbit dan peranti pintar, syarikat perisian, penyedia peralatan dan syarikat internet serta pelbagai organisasi lain dalam sektor industri berkaitan.
#MDEC #GSMA #5G #Fahmi Fadzil
;