MDEC, Felda kerjasama bangunkan Program Transformasi Digital

Bernama
Julai 14, 2023 04:45 MYT
MDEC memaklumkan inisiatif tersebut untuk meningkatkan kualiti hidup, memelihara kebajikan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi warga Felda dan generasinya.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah, komited membangunkan Program Transformasi Digital Felda-MDEC bagi merealisasikan usaha program Digital MADANI.
MDEC menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan inisiatif tersebut untuk meningkatkan kualiti hidup, memelihara kebajikan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi warga Felda dan generasinya.
"Menerusi aspek pendigitalan, MDEC akan meneruskan usaha melaksanakan program perdana Kempen Saya Digital sedia ada di dalam wilayah Felda, melalui latihan khusus memperkasakan kemahiran digital, adaptasi digital dan mendayaupayakan warga Felda menjana pendapatan lebih mampan," menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan program Digital MADANI pada Sambutan Hari Peneroka Felda Jumaat lepas.
Selain itu, Felda dalam kenyataan yang sama, menyasarkan 10,000 peserta menyertai inisiatif Saya Digital dengan memperkasakan 30 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di dalam wilayah Felda, bagi memudahkan peserta menyertai kursus latihan dalam talian.
Menurut kenyataan itu, warga Felda berpeluang meneroka pekerjaan gig yang disediakan di dalam program Global Online Workforce (GLOW), serta membantu mengembangkan perniagaan, meningkatkan kecekapan dan produktiviti bagi menjana pendapatan menerusi Program eUsahawan menerusi inisiatif tersebut.
"Sejak 2021 sehingga Julai tahun ini, Kempen Saya Digital telah berjaya memberi manfaat kepada seramai 16,081 peserta dari seluruh negara, termasuk menjalankan kursus latihan dalam talian di Felda Bukit Besar dan Felda Sahabat," tambahnya.
-- BERNAMA
#Felda #MDEC #Program eUsahawan #Global Online Workforce
;