MCW gesa menteri beri bukti dakwaan wujud rasuah, salah guna kuasa di KLIA

Sinar Harian
Julai 1, 2023 15:33 MYT
Jais berkata, pembongkaran yang dilakukan itu sepatutnya diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri untuk tindakan lanjut. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing membuktikan dakwaannya berhubung wujud budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kronik segelintir pegawai Imigresen di pintu masuk negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pembongkaran yang dilakukan itu sepatutnya diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri untuk tindakan lanjut.
Jelas beliau, sebagai anggota Kabinet kerajaan, King Sing sepatutnya bertanggungjawab untuk mengikuti undang-undang yang ditetapkan dalam membuktikan sesuatu kesalahan.
“Beliau buat serbuan begitu, sudah tentu curigakan banyak pihak. Jadi, keraguan kononnya datang (memasuki balai ketibaan antarabangsa KLIA) ada rasuah tidak masuk akal... dan beliau bertanggungjawab buktikan perkara itu. Beliau (King Sing) tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan keselamatan negara.
“Sekiranya benar terdapat dakwaan mengenai permintaan suapan oleh pegawai imigresen, perkara ini sepatutnya dilaporkan terus kepada pihak SPRM. Ini adalah bidang kuasa SPRM untuk memastikan pengamatan yang lebih sahih, siasatan yang profesional dan tegas,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Media terdahulu melaporkan tular di media sosial seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.
Dalam kejadian petang Khamis itu, menteri terbabit didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan dan dipercayai bertindak sedemikian bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.
King Sing pada Jumaat mengakui dirinya merupakan individu tersebut dengan menjelaskan bahawa kehadirannya melakukan pemantauan itu telah membongkar satu peristiwa memalukan kerana wujudnya budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
Tambah Jais, MCW turut berpendapat bahawa wujud maksud tersirat di sebalik kontroversi tindakan tersebut kerana meskipun terdapat dakwaan mengenai amalan rasuah, ia tidak semestinya mewakili keseluruhan situasi dalam kes.
“MCW mendesak agar menteri tersebut memberikan penjelasan yang lebih berasas dan bukan cuba mengalih perhatian rakyat dengan mempolitikkan isu rasuah di KLIA.
“Adakah tindakan ini dilakukan atas dasar politik negara atau mempunyai matlamat peribadi? Tanda soal ini perlu dijawab dengan lebih jelas agar rakyat dapat memahami niat sebenar sebelum rakyat membuat tafsiran liar bahawa tindakan tersebut bertujuan melindungi sesuatu jenayah lain?” soalnya.
Dalam masa sama, Jais turut berpendapat bahawa Menteri Pelancongan itu seharusnya tidak campur tangan dalam urusan pegawai imigresen kerana tugas untuk memeriksa kedatangan pengunjung berdasarkan faktor keselamatan tidak boleh dikompromi.
Tambahnya, dakwaan kehadiran King Sing di lokasi yang sama sebanyak tiga kali belakangan ini juga amat mencurigakan dan perlu disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MCW berharap agar isu tersebut dapat ditangani secara bijak dan telus dengan memberi perhatian kepada semua aspek penting terutamanya penilaian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian serta keperluan penterjemah bahasa di kaunter imigresen.
“Justeru, MCW ingin menegaskan bahawa pentingnya menjaga integriti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas oleh semua pihak yang berkaitan demi menjaga imej negara,” ujarnya. - Sinar Harian
#menteri buat kecoh #Tiong King Sing #kemuka bukti #Pemerhati Rasuah Malaysia
;