MCTC akan terus gesa kerajaan naikkan cukai rokok

Wan Syamsul Amly
Julai 15, 2017 05:28 MYT
DR MOLLY: MCTC akan terus menggesa kerajaan untuk menaikkan harga rokok untuk mengawal peningkatan jumlah anak muda merokok di negara ini. - Gambar Facebook.com - Dr Molly Cheah
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) akan terus menggesa kerajaan untuk menaikkan harga rokok untuk mengawal peningkatan jumlah anak muda merokok di negara ini.
Presidennya , Dr Molly Cheah berkata, ia sekali gus mengurangkan statistik perokok wanita negara ini yang semakin bertambah.
Jelasnya, jumlah perokok aktif negara hari ini mencecah lebih 5 juta orang.
"Perokok dari anak muda akan memastikan pasaran rokok tetap ada. Itu yang menyedihkan.
"Kita tidak benarkan benarkan anak muda merokok, itu sebab kita gesa kerajaan meletakkan cukai yang tinggi kepada rokok. Lebih tinggi harganya mereka akan berhenti merokok," katanya semasa sidang media pada Seminar Kawalan Tembakau Kebangsaan 2017: Perundangan dan Pengupayaan Komuniti di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
BACA: Malaysia sasar negara bebas rokok menjelang 2045
BACA: Akta larangan jual, beli rokok bawah umur 21 tahun digubal
Ia dirasmikan Pegawai Tugas-tugas Khas DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz sebelum ini mewartakan semua jejantas dan laluan pejalan kaki berbumbung di ibu negara sebagai zon lara­ngan merokok.
Tegasnya, pihak berkuasa tempatan itu menyokong undang-undang di bawah 22 Peraturan-peraturan Kawasan Hasil Tembakau 2004 yang dikuat kuasa mulai 15 April lalu.
Jelas Mhd. Amin, kegagalan individu mematuhi peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Sebelum ini, kajian Kementerian Kesihatan mendapati bilangan perokok berusia 18 tahun ke atas meningkat pada kadar membimbangkan iaitu lima juta orang pada 2015 berbanding 4.7 juta orang pada 2011.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata walaupun jumlah perokok bertambah namum peratus perokok dalam kalangan rakyat Malaysia menyusut kepada 22.8 peratus daripada keseluruhan populasi pada tahun lepas berbanding 23.1 peratus pada 2011.
Kemneterian Kesihatan juga telah melancarkan pelbagai pelan strategik bagi mencapai sasaran 390,000 perokok membuang tabiat itu dalam tempoh tiga tahun, selari dengan sasaran negara mengurangkan 30 peratus penggunaan tembakau di Malaysia menjelang 2025.
Antaranya program mQuit yang diperkenalkan untuk memberi ruang kepada perokok mendapatkan tiga peringkat sokongan iaitu nasihat profesional penjagaan kesihatan, bahan bantuan berhenti merokok dan kesungguhan perokok itu sendiri.
#anak muda #cukai rokok #DBKL #Dr Molly Cheah #Kementerian Kesihatan #MCTC #mQuit #rokok