MCS 2024: Komitmen Malaysia terhadap kerjasama melangkaui hubungan dua hala
Hasimi Muhamad
Disember 17, 2024 13:45 MYT
Disember 17, 2024 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan komitmen terhadap keterbukaan dan kerjasama melangkaui hubungan dua hala termasuk mengalu-alukan lebih banyak perniagaan, idea, dan bakat ke negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Malaysia melihat perdagangan sebagai jambatan yang menghubungkan negara-negara, inovasi sebagai alat untuk meningkatkan kehidupan, serta kerjasama sebagai kunci untuk menyelesaikan cabaran bersama.
Katanya lagi, ketika Malaysia bersiap sedia untuk memegang Pengerusi ASEAN pada 2025, negara ini komited membangunkan sebuah rantau dengan kemajuan secara adil dan peluang dikongsi bersama.
“Visi kami adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai mercu tanda kestabilan, inovasi, dan perpaduan dalam dunia yang sentiasa berubah.
“Kepada para pemimpin dan pelabur yang hadir hari ini: Malaysia mengalu-alukan lebih banyak perniagaan. Kami terbuka kepada idea, bakat, dan kerjasama.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan anda semua dalam membina masa depan yang berteraskan kemampanan, inovasi, dan kemakmuran bersama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama semasa Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis pembukaan sidang tersebut ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan delegasi-delegasi dari China.
Loke menambah, China juga telah menjadi rakan kongsi yang teguh dalam perjalanan ASEAN termasuk dari segi projek infrastruktur yang transformatif hingga kepada pelaburan berteknologi tinggi.
Mengulas lanjut, beliau berkata dengan memperkasakan kerjasama bersama China, negara dapat memastikan rantaian bekalan lebih kukuh selari dengan usaha membangunkan industri semikonduktor.
MCS 2024 berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC)
dari 17 hingga 19 Disember ini.
Sidang kemuncak tersebut yang juga program ekonomi utama diadakan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
MCS 2024, bertemakan "Prosperity Beyond 50", yang menampilkan Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa selama tiga hari, Persidangan Kepimpinan selama dua hari dan beberapa siri forum khas.