MCPF tidak setuju SUHAKAM bantah hukuman mati penuntut UPNM

Zikri Halim
Julai 27, 2024 10:20 MYT
MCPF merasakan tindakan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang itu jelas bertentangan dengan norma kehidupan manusia.
KUALA LUMPUR: Hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain adalah setimpal.
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berpandangan, hukuman yang dikenakan tujuh tahun lalu sebagai tepat, selain tidak bersetuju dengan bantahan yang dibuat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata meskipun mereka masih boleh merayu hukuman ke Mahkamah Persekutuan, selepas hukuman mati bagi kesalahan membunuh yang termaktub bawah 302 Kanun Keseksaan menjadi satu hukuman pilihan atau opsyen selain pemenjaraan 30 hingga 40 tahun.
“Namun MCPF merasakan tindakan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang itu jelas bertentangan dengan norma kehidupan manusia, lebih-lebih lagi ia dilakukan golongan terpelajar.
“Perbuatan membunuh seseorang secara tidak halal dalam Islam, seumpama membunuh seluruh umatnya.
“Ini kerana Islam amat menjaga nyawa setiap umatnya. Setiap darah umat Islam haram untuk ditumpahkan lebih-lebih lagi saudara sesama Islam,” tambahnya.
Justeru, MCPF tidak bersetuju dengan bantahan dibuat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap enam bekas penuntut tersebut.
“SUHAKAM perlu faham, walaupun kerajaan telah menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh dan pengedaran dadah, namun hakim mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dalam kes-kes tertentu.
“Malah, sebahagian negeri di Amerika Syarikat masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah bagi kes membunuh dan Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan budaya, perundangan dan amalan Barat yang ternyata songsang dengan norma kehidupan manusia.
“Kita bukan seperti mereka. Kita boleh ikut dan bersetuju jika perkara itu sesuai dengan keperluan, masalah dan amalan kita. Kita negara beragama. Rukun Negara perlu menjadi asas dan rujukan dalam penggubalan, penambahbaikan perundangan, dasar serta amalan rasmi negara.
“Kita perlu melihat kepada semua perkara dan ubahsuai mengikut kepercayaan, adat dan budaya kita sendiri yang sedia unik dan pelbagai. Mana yang baik dan sesuai kita contohi. Kita mesti sentiasa amalkannya dan berbangga dengan identiti dan keaslian yang ada.
Pada Khamis, SUHAKAM telah meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha kea rah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.
Selasa lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menjatuhkan hukuman sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu.
Keputusan itu diputuskan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.
#Suhakam #hukuman mati #Zulfarhan Osman Zulkarnain #MCPF
;