MCMC siasat empat lagi individu, didakwa buat komen jelik dan provokatif

Firdaus Azil
Julai 17, 2024 18:19 MYT
Secara keseluruhan enam suspek disiasat berhubung komen jelik dan provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen di platform media sosial.
CYBERJAYA: Seramai empat lagi suspek telah disiasat berhubung komen jelik dan provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen, yang dimuat naik di platform TikTok dan Facebook pada 9 Julai 2024.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sesi rakaman percakapan terhadap empat suspek itu dilakukan di empat lokasi berasingan iaitu di Rawang, Selangor; Sungai Petani, Kedah; Butterworth, Pulau Pinang dan Kangar, Perlis.
Katanya lagi, operasi siasatan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah disiasat seramai enam orang. Tindakan ini adalah untuk membendung gejala buli siber yang berleluasa dalam kalangan masyarakat.
“Dalam operasi yang dijalankan, kad SIM dan telefon pintar milik keempat-empat suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, MCMC berkata ia telah menyerahkan Notis Kehadiran kepada kesemua suspek mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC berkata, seksyen itu melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
“MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komen yang bertentangan dengan undang-undang negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian yang menganggu-gugat keharmonian sosial,” katanya lagi.
#komen jelik #sesi parlimen #TikTok #MCMC
;