MCMC sekat lebih setengah bilion SMS meragukan sejak 2021
Bernama
Jun 19, 2023 15:50 MYT
Jun 19, 2023 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menyekat sejumlah 581 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meragukan sejak 2021 hingga 31 Mei tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata dalam tempoh yang sama sebanyak 237,999 talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan juga telah ditamatkan perkhidmatan.
Beliau berkata secara teknikalnya terdapat banyak perkara yang perlu diteliti sebelum membuat sekatan seperti memastikan pautan pelokasi sumber seragam (URL) dalam perkhidmatan SMS yang diterima oleh pengguna hanyalah sebagai pengantaraan kepada sesebuah portal ataupun aplikasi.
"Sehingga kini tiada kaedah yang khusus dapat mengesahkan bahawa pautan yang disertakan dalam kandungan SMS tersebut adalah sahih atau tidak, kerana kekangan seperti pautan itu lazimnya menggunakan nama domain asing dan dihoskan di negara lain dan tiadanya kebolehupayaan untuk mengenal pasti pautan yang disediakan adalah berunsur pancingan (phishing)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Vell Paari di dalam soalannya ingin tahu mengapa baru sekarang MCMC mengeluarkan arahan kepada semua syarikat telekomunikasi bagi menghalang penyertaan pautan URL dalam penghantaran SMS untuk mengatasi sejumlah penipuan atas talian yang sering menghantar SMS kepada pengguna.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkenaan perlindungan data peribadi, Teo berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti semula Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dan dijangka dibentang di Parlimen tahun hadapan.
"KKD sedang berusaha mengkaji semula akta tersebut untuk ketatkan undang-undang bagi memastikan kita boleh memberi perlindungan yang lebih meluas kepada semua rakyat jelata supaya data peribadi kita tidak boleh disalah guna," katanya.
-- BERNAMA