MCMC sekat lebih 600 laman lucah, pelacuran

Bernama
Jun 24, 2024 15:10 MYT
Teo berkata, MCMC dengan kerjasama penyedia platform media sosial terlibat juga telah menurunkan 308 kandungan lucah dan 838 kandungan berunsur pelacuran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Muntimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Jan hingga 1 Jun tahun ini, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan, hari ini.

Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Muntimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran dari 1 Januari hingga 1 Jun tahun ini. Selain itu, MCMC, bersama penyedia platform media sosial, turut menurunkan 308 kandungan lucah dan 838 kandungan pelacuran di pelbagai platform termasuk X dan Telegram.
  • Sebanyak tujuh kes yang melibatkan kandungan lucah masih dalam siasatan oleh MCMC. Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima dari pihak berkuasa dan orang awam.
  • Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menyatakan bahawa sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial dilakukan secara aktif untuk memastikan keberkesanan pemantauan dan pengawalan terhadap kandungan yang memudaratkan. Menteri Komunikasi akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform media sosial pada bulan depan bagi membincangkan langkah-langkah lanjutan dalam membanteras isu ini. Ini adalah langkah-langkah yang diambil untuk menangani dan mengawal kandungan lucah serta pelacuran dalam talian, yang dilihat sebagai cabaran penting dalam era digital ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata dalam tempoh sama, MCMC dengan kerjasama penyedia platform media sosial terlibat telah menurunkan 308 kandungan lucah dan 838 kandungan berunsur pelacuran di pelbagai platform media sosial, termasuk platform X dan Telegram.
"Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak tujuh kes masih di bawah siasatan MCMC melibatkan kandungan lucah. Tindakan ini akan diteruskan oleh MCMC dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa dan orang awam," katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai perancangan kerajaan untuk membanteras budaya dark side di media sosial dan tindakan terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti platform X dan Telegram.
Teo berkata sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial juga giat dijalankan bagi mengukuhkan komitmen dan kerjasama untuk memastikan keberkesanan inisiatif pemantauan dan pengawalan kandungan yang memudaratkan dalam platform media sosial.
Beliau berkata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan semua penyedia platform media sosial pada bulan depan bagi membincangkan perkara tersebut.
Dalam pada itu, Teo memaklumkan kementerian dan MCMC masih menunggu maklum balas daripada pengendali aplikasi X susulan penyedia platform itu bakal membenarkan pengguna memuat naik, mencipta dan menyebar kandungan lucah.
"Susulan polisi baharu X itu, MCMC telah menghantar surat rasmi bantahan kepada pihak X pada Jun ini dan memaklumkan pandangan kita bahawa kandungan itu memudaratkan malah melanggar undang-undang negara selain bercanggah dengan prinsip Rukun Negara, amalan budaya dan agama di negara ini.
"Kita masih tunggu maklum balas mereka dan tindakan lanjut akan diambil," katanya menjawab soalan tambahan Siti Aminah berhubung cabaran yang dihadapi MCMC untuk mengekang kandungan lucah dan pelacuran di sosial media.
-- BERNAMA
#MCMC #laman web lucah #laman web pelacuran #Malaysia
;