MCMC sekat laman sayakenahack.com

Astro Awani
November 17, 2017 10:02 MYT
Laman web SayaKenaHack.com sebelum ini berkata pihaknya sedang mengumpulkan pangkalan data pelanggan syarikat telekomunikasi yang bocor untuk tujuan pelanggan menyemak sama ada data peribadi telah dibocorkan. - Gambar fail
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) atau MCMC hari ini memaklumkan pihaknya telah membuat sekatan terhadap laman https://sayakenahack.com
Sekatan dibuat selepas SKMM mendapat permohonan daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
“MCMC telah mengambil tindakan untuk membuat sekatan ke atas laman https://sayakenahack.com setelah mendapat permohonan daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) di bawah Akta Perlindungan Peribadi 2010 -Seksyen 130 Akta 709,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
BACA: 46 juta data peribadi bocor: Polis kenal pasti sumber
Laman web SayaKenaHack.com sebelum ini berkata pihaknya sedang mengumpulkan pangkalan data pelanggan syarikat telekomunikasi yang bocor untuk tujuan pelanggan menyemak sama ada data peribadi telah dibocorkan.
Sementara itu, semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan polis telah mengenal pasti dan sedang mengambil tindakan terhadap sumber yang membocorkan maklumat lebih 46 juta data peribadi pelanggan syarikat komunikasi.
Fuzi berkata kebocoran data itu berlaku semasa proses transaksi penukaran data oleh pihak yang mengambil kesempatan.
Bagaimanapun, Mohamad Fuzi berkata sebarang motif mahupun tujuan suspek membocorkan maklumat tersebut tidak boleh didedahkan pada ketika ini.
Namun pada masa yang sama menafikan kebocoran maklumat itu dibuat oleh sindiket.
#bocor #data peribadi #digodam #Ketua Polis Negara #MCMC #polis #SKMM #telekomunikasi
;