MCMC rampas 138 walkie-talkie tak diperakui, bernilai lebih RM20,000

Bernama
Julai 26, 2024 21:24 MYT
MCMC memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga premis terlibat menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui. - MCMC
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merampas 138 unit walkie-talkie bernilai lebih RM20,000 dari tiga premis di Jalan Pasar, Pudu, Kuala Lumpur dalam operasi baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga premis terlibat menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.
"Operasi melibatkan sepuluh pegawai MCMC merupakan strategi berterusan oleh MCMC bagi memastikan para peniaga alat komunikasi mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menjual alatan tidak diperakui kepada pengguna," menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC dalam pada itu mengingatkan orang ramai untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.
"Penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan yang diterima daripada penyedia perkhidmatan komunikasi selain menyebabkan gangguan frekuensi kepada rangkaian perkhidmatan komunikasi, yang akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain.
"Selain itu, kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menyebabkan kerugian kepada pengguna jika tidak berfungsi dengan baik kerana tidak mempunyai jaminan pelanggan (waranti)," menurut kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, peranti yang tidak diperakui juga boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan.
Berkuat kuasa 1 Jun 2015, setiap peralatan komunikasi di Malaysia wajib dilengkapi dengan label MCMC sebagai tanda pemerakuan wajib bagi mengesahkan peralatan komunikasi telah diperakukan dan mematuhi piawaian.
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi 'MCMC Check Your Label' yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store, untuk menyemak status pemerakuan setiap kelengkapan komunikasi sebelum membeli.
-- BERNAMA
#MCMC #rampasan #walkie-talkie #peralatan tak diperakui
;