MCMC rakam keterangan pemilik akaun muat naik mesej fitnah berkaitan Tilawah Al-Quran
Bernama
April 4, 2024 23:07 MYT
April 4, 2024 23:07 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan merakam keterangan semua pemilik akaun yang memuat naik hantaran tersusun palsu di media sosial kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan Tilawah Al-Quran.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata MCMC telah mengenal pasti individu yang terlibat dan tindakan pengesanan terhadap mereka sedang giat dijalankan.
Beliau berkata tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik mesej terancang seumpama itu bukannya kali pertama berlaku malah dikesan sejak Februari lagi.
"Cukup-cukuplah, tindakan memuat naik hantaran seumpama itu di media sosial adalah satu fitnah sangat jahat kepada kerajaan, agama Islam dan institusi diraja di negara ini.
"Peringatan kepada semua, jangan komen atau buat sebarang kenyataan yang menyentuh isu 3R (perkauman, agama dan raja), berhati-hati kerana kita telah diminta bertindak lebih tegas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasa anjuran MCMC di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dakwaan di akaun Facebook dan X kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan Tilawah Al-Quran sebaliknya hanya fokus kepada penganjuran konsert tular sejak beberapa hari lepas.
Ia bagaimanapun dinafikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan semalam yang memaklumkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan telah ditetapkan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang.
Beliau berkata Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula akan berlangsung pada 5 hingga 12 Okt depan.
Mengulas mengenai majlis hari ini, Fahmi berkata ia merupakan satu platform terbaik dalam memperkasa hubungan antara MCMC dan agensi penguatkuasa sekali gus mengukuhkan usaha pelaksanaan undang-undang termasuk berkaitan Akta Komunikasi dan Multimedia.
-- BERNAMA