MCMC perlu pantas turunkan kandungan berunsur ajaran sesat - Mohd Na'im
Bernama
Julai 22, 2023 23:47 MYT
Julai 22, 2023 23:47 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) perlu menggunakan kuasanya untuk bertindak pantas menurunkan kandungan berunsur ajaran sesat yang difatwakan haram di media sosial, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
"Masalahnya media sosial (cepat tular), semoga dengan adanya fatwa (haram) ini, MCMC bertindak cepat dengan kuasa yang ada untuk menurunkan cepat-cepat (kandungan berunsur ajaran sesat)," katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd Na'im berkata penempatan seorang kader atau pegawai hal ehwal agama Islam di MCMC oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dilakukan selepas mesyuarat bersama suruhanjaya itu Isnin ini.
"Kader ini adalah pegawai pakar, sebelum ini jika berlaku benda (unsur ajaran sesat) MCMC akan datang ke Jakim dan ini akan melambatkan proses (menurunkan kandungan)," katanya.
-- BERNAMA