MCMC pantau kandungan media sosial gugat ketenteraman awam

Bernama
Julai 14, 2015 16:03 MYT
MCMC sedang memantau pengguna media sosial, terutamanya kandungan bersifat menghasut dan provokasi terhadap hubungan kaum. -Gambar fail
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat memantau pengguna media sosial, terutamanya kandungan-kandungan yang bersifat menghasut dan provokasi terhadap hubungan kaum dan ketenteraman awam bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Sehubungan itu, Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin menegaskan, pihak MCMC dengan kerjasama penuh oleh pihak pemberi perkhidmatan komunikasi akan mengenal pasti pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab.
Di samping itu, mereka juga diminta untuk menyimpan bukti-bukti yang boleh digunakan untuk pendakwaan di mahkamah nanti.
Ujar beliau, MCMC akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan maklumat dan berita palsu yang boleh menguggat keselamatan dan ketenteraman awam; berdasarkan kepada peruntukan yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, di samping menyalurkan bantuan teknikal kepada siasatan polis.
Pihak MCMC juga turut meminta pihak pemberi perkhidmatan media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menyekat akses mana-mana video dan gambar yang dimuat-naik dengan tujuan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
Pihak MCMC menggesa orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mana-mana pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab untuk memajukan maklumat tersebut kepada MCMC untuk diambil tindakan.
#bukti #MCMC #media sosial #pendakwaaan #Zulkarnain Mohd Yasin
;