MCMC lepasi sasaran kemudahan gentian optik di 7.74 juta premis

Faida Rahim
Mac 28, 2023 00:03 MYT
MCMC masih menerima aduan namun secara puratanya dilaporkan menurun dan pihaknya sentiasa memantau supaya dapat memberikan resolusi terbaik kepada kesemua aduan diterima. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital berjaya melepasi sasaran fasa pertama untuk pemasangan laluan gentian optik fiber di sebanyak 7.74 juta premis sehingga penghujung Disember 2022.
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus memaklumkan pihaknya komited untuk terus memperbaiki mutu perkhidmatan rangkaian internet di seluruh negara.
“Kita target untuk fasa pertama, laluan gentian fiber sebanyak 7.5 juta premis dan berjaya mencapai dalam 7.74 juta premis pada penghujung Disember 2022. Sasaran seterusnya adalah dari segi kelajuan jalur lebar, permulaan pada tahun 2020, kelajuan purata adalah 24 megabait sesaat (Mbps) dan pada penghujung 2022, kita telah berjaya mencapai sebanyak 116 Mbps.
“Dan satu lagi kita panggil teknologi satelit ataupun broadband wireless access, ini merupakan satu projek inisiatif yang kita beri kepada komuniti di pendalaman sekitar 839 projek yang telah kita jalankan termasuk memberi liputan di perkampungan Orang Asli. Itu antaranya pencapaian yang kita dapat,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tambahnya, MCMC masih menerima aduan namun secara puratanya dilaporkan menurun dan pihaknya sentiasa memantau supaya dapat memberikan resolusi terbaik kepada kesemua aduan diterima.
Sementara itu ujarnya, kementerian akan terus berusaha mempercepatkan perluasan capaian, serta meningkatkan kelajuan Internet di seluruh negara dengan kini hanya kira-kira tiga peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara yang masih tidak mempunyai capaian internet.
Agenda AWANI: Cerita terkini Pelan JENDELA
#MCMC #Agenda Awani #Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus #broadband wireless access
;