MCMC lancar program antijenayah siber di Labuan

Bernama
Ogos 5, 2023 23:13 MYT
Alyas Roy berkata Jom Bijak Internet berkisar kepada tiga aspek utama iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggunjawab. - Gambar Bernama
LABUAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini melancarkan program bagi menangani cabaran jenayah siber di sini.
Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Alyas Roy Amir berkata 'Jom Bijak Internet' bersama Kolej Vokasional Labuan adalah antara inisiatif bagi membantu kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti menangani cabaran jenayah siber.
Beliau berkata program itu mempunyai empat objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan media sosial secara bijak dan selamat; memberi pendedahan kepada komuniti mengenai bahaya/risiko media sosial yang tidak terkawal; melindungi pengguna Internet daripada risiko dan ancaman dalam talian serta meningkatkan keupayaan komuniti untuk menggunakan dan memahami teknologi digital.
"Seperti yang kita sedia maklum, beberapa pendekatan telah diambil oleh MCMC untuk meningkatkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna Internet Malaysia adalah melalui program 'Klik Dengan Bijak' (KDB).
"Teras mesej program ini adalah berdasarkan prinsip Rukun Negara merangkumi semua nilai yang perlu ditekankan dalam kehidupan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang," katanya pada program Jom Bijak Internet di sini hari ini.
Alyas Roy berkata Jom Bijak Internet berkisar kepada tiga aspek utama iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggunjawab.
"Menerusi program KDB ini, MCMC berhasrat melahirkan pengguna yang celik teknologi - individu yang mempunyai pemahaman mendalam mengenai teknologi dan Internet," katanya.
Beliau juga berkata MCMC komited untuk menjalin kerjasama yang kukuh dengan pelbagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam usaha memerangi ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat di negara ini secara berkesan.
"Kerjasama itu akan merangkumi pendekatan pelbagai aspek bagi menangani kesemua cabaran ini termasuk langkah pencegahan, usaha penyiasatan dan kempen kesedaran awam yang berterusan di sekolah, kampung, jabatan kerajaan serta premis perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi taklimat dengan agensi di bawah KKD yang berpangkalan di Labuan mengenai peranan MCMC dan perkembangan semasa berhubung ketersambungan di seluruh negara.
"Memandangkan landskap digital Malaysia terus berkembang, kerjasama MCMC dengan agensi lain menandakan satu langkah tegas ke arah memperkukuh pertahanan digital negara dan memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#landskap digital #kerjasama MCMC #Jom Bijak Internet #persekitaran dalam talian
;