MCMC, KKD perkukuh kerjasama majukan ekonomi digital negara
Bernama
Julai 11, 2023 21:34 MYT
Julai 11, 2023 21:34 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama dan komitmen bersama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), terus diperkukuhkan dalam usaha memajukan ekonomi digital negara.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara tersebut merupakan antara intipati lawatan kerja Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa ke Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Mohamad Fauzi juga diberikan taklimat mengenai fungsi utama MCMC sebagai badan kawal selia sektor komunikasi dan multimedia, serta inisiatif strategik dan projek utama yang sedang dijalankan seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan 5G serta Peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi).
"MCMC turut membentangkan pelbagai isu, trend dan cabaran yang dihadapi dalam sektor komunikasi dan digital, di samping membincangkan fokus terhadap pemantauan jenayah dalam talian, penambahbaikan infrastruktur, serta pemajuan teknologi dan inovasi dalam bidang komunikasi dan digital.
"Warga MCMC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Mohamad Fauzi atas dedikasi dan sokongan beliau, terhadap usaha MCMC dalam melaksanakan mandat Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA