MCMC kesan individu salah guna AI, sunting gambar aib - Fahmi

Bernama
April 25, 2024 05:14 MYT
Fahmi menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan individu terlibat dalam penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyunting gambar sehingga mengaibkan pengguna media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata langkah itu bertujuan membolehkan tindakan tegas diambil serta memastikan keselamatan pengguna dalam talian khususnya golongan kanak-kanak adalah terjamin.
"..kita sangat risau dan sedang mengambil beberapa tindakan tegas mengenai keselamatan dalam talian, antara lain kita tegaskan bahawa kanak-kanak di bawah usia 13 tahun diharamkan daripada menggunakan sebarang aplikasi media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Sebelum ini tular di aplikasi X mengenai aktiviti menyunting gambar mengaibkan sehingga mengundang reaksi negatif daripada warganet, dan ramai juga yang memohon agar kerajaan mengharamkan penggunaan teknologi itu di negara ini.
-- BERNAMA
#salah guna AI #gambar aib #MCMC #Fahmi Fadzil