MCMC keluarkan 63 kompaun kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi

Afiezy Azaman
Februari 28, 2019 19:59 MYT
MCMC mengeluarkan 63 kompaun berjumlah RM2.32 juta kepada beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi sehingga Februari 2019.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan 63 kompaun berjumlah RM2.32 juta kepada beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi sehingga Februari 2019.
Menurut Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin, kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan berdasarkan pelbagai kesalahan yang dilakukan.
“Ia termasuk kegagalan mematuhi standard mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) dalam rangkaian dan khidmat pelanggan, pendaftaran palsu, menurunkan bahan promosi pesaing.
“Kegagalan untuk berunding dengan pelanggan dan menangani aduan pengguna serta standard lain yang digariskan di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Serta kegagalan menangani permintaan pengguna untuk memindahkan nombor yang sama ke rangkaian lain,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Zulkarnain turut menyatakan sebanyak 77 kompaun berjumlah RM3 juta telah dikeluarkan kepada penyedia perkhdimatan telekomunikasi atas pelbagai kesalahan pada tahun 2018.
Zulkarnain turut memberikan amaran bahawa MCMC tidak akan berkompromi dengan mereka yang gagal mengekalkan standard yang telah ditetapkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MSQoS dan Kod Pengguna Am.
“Kami mahu semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi memberikan perkhidmatan pelanggan yang unggul dan kami bertekad untuk memastikan mereka menawarkan perkhidmatan yang memuaskan.
“Amat penting untuk penyedia telekomunikasi ini melaksanakan proses penambahbaikan yang berterusan dalam usaha meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan, lantas mengukuhkan keyakinan dan kebolehpercayaan pelanggan terhadap industri ini.
Selain itu, beliau turut menyatakan MCMC akan terus menguatkuasakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memastikan pengguna perkhidmatan komunikasi dan multimedia dapat membuat pilihan dan menerima perkhidmtan di tahap yang memuaskan pada harga yang berpatutan.
#Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 #Kod Pengguna Am #MCMC #MCMC keluarkan 63 kompaun #penyedia perkhidmatan telekomunikasi #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia #Zulkarnain Mohd Yasin
;