MCMC jalin kerjasama dengan tiga pihak, tangani cabaran penjagaan kesihatan

Bernama
Oktober 26, 2024 23:08 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama strategik dengan tiga pihak dari luar negara bagi menangani cabaran penjagaan kesihatan.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama strategik dengan tiga pihak dari luar negara bagi menangani cabaran penjagaan kesihatan.
Pihak berkenaan ialah Agensi Pembangunan dan Perdagangan Amerika Syarikat (USTDA), Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (Austrade) dan Suruhanjaya Tinggi British (BHC).
MCMC dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu diumumkan di Pavilion MCMC Future Healthcare Frontier hari ini bersempena dengan Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024.
"Disifatkan sebagai pencapaian signifikan dalam landskap penjagaan kesihatan negara, kerjasama yang dicapai untuk menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan hipercholesterolemia, peningkatan populasi warga emas serta penjagaan kesihatan yang terhad di kawasan luar bandar," menurut kenyataan itu.
MCMC menjelaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada masa hadapan berdepan cabaran getir kerana demografi warga emas di Malaysia dijangka hampir menyamai populasi orang muda pada 2040.
"Di kawasan luar bandar, infrastruktur tidak mencukupi dan kekurangan profesional perubatan melebarkan lagi jurang yang telah lama wujud.
"Oleh demikian, kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran maju dari Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom bagi meningkatkan kualiti penyampaian penjagaan kesihatan untuk semua rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.
MCMC percaya penglibatan USTDA, Austrade dan BHC itu akan mempercepat penerapan penyelesaian terkini dan membawa kepakaran global untuk menggalakkan inovasi, merangsang pertumbuhan dan menarik pelaburan langsung asing.
Usaha ini sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkemuka sambil memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan tempatan.
Menurut MCMC, langkah itu juga selari dengan pelancaran teknologi 5G oleh syarikat telekomunikasi yang membuka peluang untuk mengembangkan sektor teleperubatan dan mengintegrasikan peranti kesihatan boleh pakai.
"Kemasukan peneraju penjagaan kesihatan antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia juga akan memacu kemajuan tempatan dengan memperkenalkan teknologi terkini melalui penyelesaian yang inovatif.
"Hasilnya, peningkatan kepakaran ini akan menggalakkan hospital swasta untuk meningkatkan perkhidmatan mereka sekali gus menjadikan sektor penjagaan kesihatan lebih kompetitif pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.
MIH Megatrends 2024 berlangsung selama tiga hari bermula semalam telah menarik lebih 4,000 peserta termasuk profesional kesihatan, peneraju industri, pegawai kerajaan, pelabur dan orang awam yang ingin meneroka trend terkini dalam membentuk masa depan penjagaan kesihatan.
Acara ini dianjurkan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare dan rakan strategik MCMC.
Turut hadir pada majlis pengumuman Kolaboratif MIH Megatrends itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
-- BERNAMA
#pelaburan langsung asing #KPJ Healthcare #warga emas #MCMC
;