MCMC denda empat individu memiliki alat komunikasi tidak diperakui
Siti Hajar Jamaludin, Amirah Shariffudin
Jun 26, 2019 13:43 MYT
Jun 26, 2019 13:43 MYT
EMPAT individu dihadapkan ke mahkamah kerana memiliki dan menjual peralatan komunikasi tidak diperakui termasuk kotak TV Android dan AV Sender.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd Shafie Harun berkata, dalam kes pertama, orang kena saman (OKS) yang dikenali sebagai Chen Ker Seng merupakan pemilik perniagaan Media Home Enterprise didakwa memiliki 146 kotak TV Android yang tidak diperakui dengan niat untuk menjual.
“Kes tersebut disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan OKS mengaku bersalah dan didenda oleh Mahkamah sebanyak RM40,000.
“Manakala tiga lagi individu turut didakwa di bawah peraturan yang sama dan dikenakan denda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shafie menegaskan, MCMC akan terus menjalankan operasi membanteras penggunaan peralatan komunikasi yang tidak diperakui di negara ini.
“Orang awam juga diingatkan supaya membeli dan menggunakan peralatan komunikasi yang memaparkan label MCMC sahaja.
“Ini bertujuan untuk melindungi keselamatan pengguna selain mengelakkan gangguan kepada perkhidmatan komunikasi yang lain,” ujarnya lagi.
Para pengguna disyorkan untuk menyemak status peralatan tersebut menggunakan aplikasi mudah alih Check Your Label atau di laman sesawang http://ecomm.sirim.my