MCMC cadang tambah baik liputan internet di Pulau Kapas, Pulau Gemia

Bernama
Mei 5, 2024 07:00 MYT
Kemudahan internet yang baik banyak membantu pengusaha bot dan resort, serta peniaga di Pulau Kapas dan Pulau Gemia, Terengganu, dalam kelangsungan penjanaan pendapatan harian mereka. - Foto MCMC
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan terdapat cadangan penambahbaikan liputan internet bagi membantu pengusaha sektor pelancongan di Pulau Kapas dan Pulau Gemia, Terengganu.
Dalam kenyataan semalam MCMC berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi bagi memperluaskan radius liputan internet sedia ada di sekitar pulau berkenaan.
"Cadangan penambahbaikan ini akan merangkumi pengukuhan aspek keselamatan dan tindak balas kecemasan di masa hadapan, dan ia dijangka memberikan pengalaman yang lebih baik buat para pelancong yang berkunjung ke Pulau Kapas dan Pulau Gemia.
"Kemudahan internet yang baik banyak membantu para pengusaha bot dan resort, serta peniaga di Pulau Kapas dan Pulau Gemia dalam kelangsungan penjanaan pendapatan harian mereka," menurut kenyataan itu.
MCMC berkata itu merupakan hasil daripada sesi turun padang dan pertemuan pihaknya bersama ahli Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pelancongan Pulau Kapas dan Pulau Gemia, yang membincangkan keperluan untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi sedia ada di pulau berkenaan.
"Industri pelancongan merupakan antara sektor ekonomi utama di Terengganu yang memainkan peranan dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi tempatan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#MCMC #Pulau Kapas #pulau gemia #Internet
;