MCMC bukan 'polis internet', sekat kandungan lucah atas aduan, permintaan PDRM

Bernama
November 21, 2023 17:03 MYT
Teo turut mengakui MCMC dan Kementerian Komunikasi dan Digital berdepan kesukaran menangani isu kandungan lucah, terutama di dalam aplikasi atau platform yang mempunyai kemudahan bersifat tertutup seperti kumpulan atau saluran. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menurunkan atau menyekat kandungan lucah berdasarkan permintaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas menerima laporan dan aduan pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata MCMC tidak berperanan sebagai polis Internet, sebaliknya memberikan bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital, serta pelaksanaan tindakan sekatan atau penurunan kandungan, berdasarkan permohonan PDRM atau aduan lain.
"MCMC bukan berperanan sebagai polis Internet dalam perkara ini, hanya apabila kita terima permohonan daripada polis atau agensi penguatkuasaan lain, baru kita ambil tindakan menurunkan atau sekat kandungan itu.
"Justeru sangat penting kepada sesiapa saja, orang awam mahupun Ahli Yang Berhormat, jika menemukan kandungan lucah, mohon melaporkan kepada polis dan seterusnya MCMC akan buat tindakan lanjut," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berhubung tindakan MCMC untuk menurun atau menyekat kandungan lucah di platform media sosial, dengan keperluan untuk mewujudkan platform khas untuk orang awam menghantar aduan berkaitan kandungan lucah.
Teo turut mengakui MCMC dan Kementerian Komunikasi dan Digital berdepan kesukaran menangani isu kandungan lucah, terutama di dalam aplikasi atau platform yang mempunyai kemudahan bersifat tertutup seperti kumpulan atau saluran.
Beliau berkata sejak 1 Jan sehingga 15 Nov, sejumlah 118 laman pelacuran telah disekat MCMC, berdasarkan permohonan daripada PDRM, manakala untuk platform media sosial pula sebanyak 76 kandungan diturunkan atas pelanggaran piawaian komuniti yang ditetapkan penyedia platform media sosial terbabit.
-- BERNAMA
#Teo Nie Ching #MCMC #polis internet #kandungan lucah
;