MCMC boleh bertindak atas aduan awam, tidak semestinya tumpu isu 3R - Fahmi

Firdaus Azil
November 9, 2023 12:20 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) boleh melakukan tindakan penguatkuasaan, jika terdapat aduan dari pihak awam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, suruhanjaya tersebut tidak semestinya bertindak atas arahan Kerajaan, atau hanya menyentuh soal 3R - iaitu menyentuh Institusi Diraja, Agama, dan Perkauman - semata-mata, tetapi juga sebarang kandungan yang disifatkan menyalahi Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, ada keperluan untuk melakukan kajian menyeluruh terhadap akta tersebut, memandangkan terdapat klausa yang dilihat tidak selari dengan peredaran zaman.
“Memang kalau kita lihat sebenarnya MCMC menerima aduan pelbagai pihak tentang sebarang perkara dalam media sosial. Tidak hanya menyentuh tentang 3R, tetapi sebarang kandungan yang ditafsir jelik, dan berpandukan kepada Akta 588, Seksyen 233 sebagai contoh.
“Bukan hanya merujuk kepada 3R kerana 3R itu lebih kepada isu contoh – melibatkan institusi diraja, agama dan perkauman. Tetapi tambahan, ada juga kandungan yang boleh diambil tindakan berlandaskan Seksyen 233. Mungkin yang dimaksudkan itu, mungkin MCMC ada terima aduan dari orang awam tentang beberapa perkara berkaitan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas) yang mendakwa, seperti ada campur tangan kementerian dalam beberapa perkongsian orang awam yang mengaitkan PKR dengan Liberal International, serta pandangan lapan tokoh wartawan terhadap SKMM.
Selain itu, Ahmad Fadhli turut menyentuh mengenai pas media akhbar milik Pas, iaitu Harakah, yang telah ditarik atas dakwaan menyiarkan kandungan bersifat provokatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Fahmi berkata, biarpun MCMC bertindak atas laporan orang awam, namun pihak media disarankan untuk menjaga etika kewartawanan, agar terus menjadi sumber berita yang boleh dipercayai masyarakat.
“Saya difahamkan Harakah akan hantar rayuan, dan kita alu-alukan, kita akan berbincang dengan Jabatan Penerangan. Seperti yang Perdana Menteri sebutkan, beliau sedia memaafkan (Harakah). Isunya ialah, dan ini tidak terpakai kepada Harakah, tapi semua. Etika kewartawanan ini kita nak tegaskan kerjasama dengan semua rakan media, termasuk berita tadi.
“Cuma saya ada berbeza pandangan (mengenai reaksi Kerajaan terhadap lapan tokoh wartawan veteran). Seperti saya sebut, kalau zaman (Kerajaan) sebelum in, ini lapan orang veteran ini kalau zaman sebelum ini, selepas mereka keluarkan kenyataan itu pelbagai tindakan diambil. Tapi sehingga ke hari ini mereka masih bebas nyatakan pandangan. Kami sedia terima pandangan dan kritikan,” katanya lagi.
#Fahmi Fadzil #Dewan Rakyat #MCMC #Kebebasan Media
;