MCMC berhubung dengan TikTok isu 18 akaun organisasi media disekat - Fahmi

Bernama
Februari 24, 2025 12:17 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ditemui pemberita selepas melancarkan kursus AI in the Newsroom. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu 18 akaun TikTok organisasi media tempatan yang disekat baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata menurut maklumat awal diterimanya daripada pihak TikTok, akaun-akaun berkenaan disekat kerana membuat laporan berkaitan kes cabul di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan.
"Masalahnya adalah kecerdasan buatan (AI) TikTok itu sendiri, di sini sedikit amaran, AI kadangkala dia boleh jauh tersasar, dia tak faham bahawa organisasi media pelaporannya berbeza daripada kandungan yang dihasilkan oleh orang biasa.
"Jadi saya telah minta supaya satu perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat untuk memperhalusi fungsi akaun-akaun TikTok yang dimiliki oleh media supaya tak dikenakan tindakan sedemikian rupa di masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kursus AI in the Newsroom anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), kursus pertama dalam siri program latihan berkaitan AI untuk profesional media.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, Editor Eksekutif (menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang) Perkhidmatan Berita Antarabangsa Mohd Shukri Ishak, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain dan Ketua Komersil Bernama Mastura Hassan.
Difahamkan akaun TikTok bernamaofficial antara yang turut dikenakan sekatan tersebut.
Mengulas lanjut Fahmi berkata pelaporan berhubung kes cabul itu merupakan laporan biasa seperti yang dibuat lazimnya oleh organisasi media dan tidak seharusnya menjadi isu.
"Pelaporan itu sepatutnya tidak menjadi masalah. Jadi di situ saya nampak masalah AI yang perlu TikTok jelaskan kepada kami dan kemudian jelaskan juga kepada syarikat-syarikat media," katanya.
Fahmi berkata ketika ini TikTok memaklumkan bahawa mereka telah meningkatkan penggunaan AI-content moderation yang adakalanya menyebabkan salah faham berhubung kandungan yang dimuat naik di platform itu.
"Jadi di situ saya nampak ada peluang untuk kita bincang dengan pihak TikTok beri kelonggaran, atau pun mungkin beri status yang berbeza untuk syarikat-syarikat media kerana mereka membuat pelaporan dan kita pun ada garis panduan atau pun kod etika kita sendiri, jadi di situ TikTok perlu faham," katanya.
Sementara itu Nur-ul Afida berharap agar MCMC dapat membantu mengembalikan akaun TikTok semua agensi yang terlibat memandangkan pelaporan yang dibuat berhubung isu tersebut tidaklah sensitif.
"Jadi saya mohon agar perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin kerana kandungan itu tidaklah melibatkan apa-apa yang sensitif sebab kita sekadar melaporkan satu insiden berlaku di negara kita," katanya.
-- BERNAMA
#TikTok #Fahmi Fadzil #akaun disekat #kanak-kanak dicabul #MCMC #terkini
;