MCMC bantu naik taraf jaringan internet di 342 institusi pendidikan MARA

Bernama
Januari 5, 2024 22:00 MYT
Asyraf Wajdi berkata kerjasama MARA dengan MCMC itu akan memberi banyak manfaat kepada pelajar TVET MARA yang terlibat, sekali gus menyumbang kepada (pembangunan) ekonomi digital negara. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersetuju membantu menaik taraf jaringan rangkaian internet di 342 Institusi-Institusi Pendidikan MARA (IPMa) bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran secara digital dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar di institusi itu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata bantuan naik taraf itu akan dilaksanakan terutamanya di 269 IPMa yang memfokuskan pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan teknologi terkini.
"Hari ini saya berpeluang mengunjungi Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi MCMC (bagi menyampaikan keluhan itu) di pejabat beliau di Cyberjaya.
Alhamdulillah, Tan Sri bersetuju untuk MCMC membantu MARA terutamanya untuk naik taraf jaringan rangkaian kesambungan Internet di seluruh 342 Institusi-Institusi Pendidikan MARA (IPMa)," katanya.
Asyraf Wajdi berkata langkah berjumpa dengan MCMC itu diambil selepas pihaknya menerima beberapa keluhan daripada pengurusan institusi pendidikan di bawah MARA seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) semasa lawatannya ke institusi itu.
" 'Tolong Dr (Asyraf Wajdi), isyarat Internet kat sini perlahan!', 'Kami guru-guru kalau nak dapatkan isyarat Internet kena ke blok depan'. Ini adalah sebahagian keluhan apabila saya turun melawat sebahagian MRSM, IKM, KKTM dan Institusi-institusi pendidikan di bawah MARA," katanya.
Asyraf Wajdi berkata kerjasama MARA dengan MCMC itu akan memberi banyak manfaat kepada pelajar TVET MARA yang terlibat, sekali gus menyumbang kepada (pembangunan) ekonomi digital negara.
"...(ini) sesuai dengan Revolusi Industri 4.0 selain capaian yang lebih pantas untuk pelajar dan pensyarah mengakses sumber dalam talian dan bahan kursus dengan lebih cekap termasuk capaian di desa dan luar bandar," katanya.
Turut serta dalam perjumpaan itu adalah Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
-- BERNAMA
#MCMC #MARA #Felda #revolusi industri 4 0
;