MCMC ambil tindakan ke atas pihak sebar kandungan lucah

Afiq Ariffin
Jun 12, 2019 23:11 MYT
Menurut kenyataan itu, pihak yang didapati melanggar undang-undang ini boleh dikenakan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan terkini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak memuat naik, menyebar mahupun berkongsi sebarang kandungan yang berunsur jelik dan lucah di internet selari dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut kenyataan itu, pihak yang didapati melanggar undang-undang ini boleh dikenakan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
“Pihak MCMC akan menyiasat kes-kes penyebaran kandungan berunsur jelik dan lucah serta akan menyekat laman-laman sesawang yang didapati menyebarkan kandungan berkenaan.
“Kerjasama dengan pihak pengendali platform seperti Facebook turut diambil untuk memastikan kandungan lucah tersebut tidak tular,” jelas kenyataan itu.
Pada masa yang sama, MCMC turut memberitahu pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memantau penyebaran kandungan-kandungan yang menyalahi peruntukan undang-undang negara.
Tegas pihak MCMC lagi, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
#Facebook #Internet #jelik #Kenyataan Media #lucah #MCMC #penjara #undang-undang
;