MCMC akan tarik sekatan terhadap laman web steampowered.com

Bernama
September 9, 2017 15:18 MYT
MCMC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di negara ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menarik tindakan sekatan terhadap laman sesawang steampowered.com susulan tindakan pihak pengendali platform tersebut yang telah akur dengan permintaan pihak MCMC untuk menghalang permainan video "Fights Of Gods" daripada dimuat turun oleh pengguna di Malaysia.
MCMC dalam kenyataan yang disiarkan dalam akaun laman sosial Facebooknya hari ini berkata, MCMC komited di dalam melindungi kepentingan pengguna di Malaysia, dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di negara ini.
"MCMC juga ingin mengingatkan para pengguna agar lebih berwaspada dan menggunakan kebijaksanaan mereka ketika memilih kandungan untuk diakses," katanya.
Semalam, MCMC telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan internet untuk mengambil tindakan menyekat laman sesawang yang menjadi platform pengedaran digital permainan video "Fight of Gods" yang dilihat mengaibkan kesucian agama serta keharmonian antara kaum di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam kenyataannya semalam berkata, tindakan tersebut diambil selepas pihak penyedia platform permainan video itu, Steam gagal mematuhi tempoh 24 jam yang diberikan untuk menghalang permainan video tersebut daripada dimuat turun oleh pengguna di Malaysia.
"Tindakan yang dilaksanakan ini adalah perlu bagi melindungi pengguna selain memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini .
"Perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan matlamat utama kerajaan, sebarang perilaku yang menggugat matlamat ini tidak akan dikompromi sama sekali oleh kerajaan," katanya.
Beliau turut menyifatkan permainan video yang dibangunkan oleh sebuah studio di Taiwan itu mengaibkan agama dan ketua-ketua agama serta mengancam kesepakatan dan keharmonian antara kaum.
Salleh berkata sebarang perbuatan mencipta dan menyebarkan kandungan jelik adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
Permainan video 'Fight of Gods' diilhamkan oleh permainan seperti 'Street Fighter' dengan menonjolkan watak 'Jesus' dan 'Buddha' sebagai karakter utama dengan pemain menggunakan wira pilihan mereka untuk mengalahkan wira pilihan lawan.
Dimajukan oleh Digital Crafter dari Taiwan, permainan itu membangkitkan kemarahan pemimpin agama dan penggemar permainan video.
-- BERNAMA
#Fight Of Gods #MCMC #steampowered com #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
;