MCMC adakan perbincangan dengan Meta, Google bagi rangka kerja kawal selia
Azyyati Ahmad
September 5, 2023 12:00 MYT
September 5, 2023 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan perbincangan kawal selia dengan platform dalam talian terkemuka iaitu Meta dan Google bagi menangani cabaran media dalam talian.
Dalam satu kenyataan hari ini MCMC berkata, TikTok juga telah dijadualkan bermesyuarat untuk membincangkan titik fokus yang sama.
Perbincangan kawal selia itu dipengerusikan bersama oleh bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
MCMC berkata cabaran itu termasuk penyebaran kandungan memudaratkan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menyentuh isu kaum, agama dan Raja (3R), penipuan dan pancingan data, penjualan serta promosi bahan terlarang seperti dadah, penyamaran, serta penyebaran maklumat dan berita palsu.
Malaysia juga mempertimbangkan untuk menerima pakai rangka kerja kawal selia yang serupa seperti yang dilaksanakan di Australia dan Kanada.
Kementerian Komunikasi dan Digital serta MCMC sedang dalam perbincangan dengan platform dalam talian utama, termasuk Meta dan Google, untuk mewujudkan rangka kerja pelesenan dan kawal selia.
MCMC berkata, kelulusan Mandatory News Media Bargaining Code yang pertama di dunia, Google dan Meta telah membuat perjanjian pampasan sukarela dengan saluran-saluran berita, sebagai contoh berhubung kepentingan pampasan yang adil.
Begitu juga dengan Rang Undang-Undang C-11 Kanada yang bertujuan mengawal selia platform penstriman dan yang menggalakkan sokongan terhadap kandungan berkaitan Kanada.
Mencontohi kedua-dua negara iaitu Australia dan Kanada, penglibatan KKD dan MCMC dengan platform dalam talian menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menangani cabaran pasaran digital.
Antara cabaran yang dihadapi adalah ketidakseimbangan dalam Perbelanjaan Pengiklanan (ADEX) antara platform digital dan media tempatan bagi memastikan pampasan yang adil untuk pencipta kandungan berita.
MCMC berkata, usaha ini melangkaui pembayaran kepada pencipta berita semata-mata, kerana ia juga merupakan titik permulaan bagi revolusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Susulan itu, KKD dan MCMC mengakui kepentingan teknologi ini dan menyasarkan dapat melaksanakan peraturan serta amalan yang adil dan bijak.
Ini termasuk perancangan untuk menggalakkan persaingan yang adil, mengukuhkan hak harta
intelek, melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian serta menjaga privasi pengguna.