McDonald's santuni lebih 170 rumah orang tua seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina
Ehsan A Marisah
Februari 8, 2022 09:00 MYT
Februari 8, 2022 09:00 MYT
PRIHATIN terhadap golongan memerlukan, Program Komuniti @ McDonald’s Malaysia dan Ronald McDonald House of Charities (RMHC) mengadakan khidmat masyarakat ke lebih 170 rumah orang tua di seluruh negara serta inisiatif itu telah berlangsung selama enam tahun.
Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, program itu adalah usaha untuk menerapkan nilai-nilai positif yang dilihat selari dengan komitmen syarikat untuk menyalurkan bantuan serta sokongan kepada komuniti.
Kata Shamsidar, baru-baru ini, kemuncak program tersebut menyaksikan kru restoran McDonald’s menghulurkan bantuan di Rumah Charis dan Sincere Care Home sempena Tahun Baharu Cina dengan menggunting rambut warga emas, mengadakan pertunjukan Tarian Singa dan menyediakan hidangan Yee Sang buat mereka.
Ia juga sebagai usaha pihaknya memberikan mereka impak ‘Erti Prosperity yang Sebenar’.
Bagi McDonald’s, Prosperity ialah memori yang dicipta bersama-sama orang yang tersayang dan bukannya mengenai apa yang kita miliki, tetapi siapa yang kita miliki.
“Selain itu, kami ingin melakar memori indah bersama warga emas ini supaya mereka dapat membawa kenangan ini sehingga bila-bila.
“Pada tahun-tahun sebelumnya dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik COVID-19, kami hanya mampu menghantar makanan di hadapan pagar sahaja dan mereka meraikan Tahun Baharu Cina antara satu sama lain.
“Pada kali ini, kami berjaya bersama-sama mereka dan melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama.
"Kami berharap apa yang dilakukan ini dapat dikenang oleh mereka sehingga akhir hayat,” katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Setiap tahun, kira-kira 7,000 aktiviti komuniti berjaya dianjurkan di bawah Program Komuniti @ McDonald’s Malaysia dan RMHC untuk membantu komuniti di seluruh negara.