McDonald's Malaysia bersama Palestin, derma RM1 juta kepada tabung kemanusiaan

Bernama
Jun 2, 2024 13:40 MYT
AZMIR: Saya bersolidariti bersama saudara-saudara kita di Gaza dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka; sita semua punyai tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu mereka dalam kemampuan tersendiri. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia, sebagai sebuah perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam di negara ini, sentiasa menyuarakan sokongannya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan telah menderma RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Datuk Azmir Jaafar juga berkata pekerja restoran makanan segera itu telah mengambil langkah proaktif dengan mengumpul dana lebih RM100,000 untuk membantu mereka yang terjejas di Palestin.
"Kami berusaha dengan daya yang termampu dan saya menggalakkan semua orang untuk turut melakukan yang sama. Sebagai orang Islam, tentunya saya juga berasa pilu dan perit terhadap apa yang berlaku di Gaza.
"Saya bersolidariti bersama saudara-saudara kita di Gaza dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Kita semua mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu mereka dalam kemampuan tersendiri.
"Bersatu untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza adalah penting tetapi ia tidak sewajarnya berlaku sehingga menyakiti sesama rakyat Malaysia," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan vandalisme baru-baru ini ke atas premis restoran itu yang menyasarkan antaranya papan tanda McDonald's di seluruh negara yang mencetuskan tekanan serta keresahan kepada pekerja restoran makanan segera itu dan masyarakat sekeliling.
Azmir berkata selain vandalisme, beberapa tindakan agresif terhadap pekerja dan pelanggan restoran itu amat membimbangkan.
Justeru itu, beliau meminta orang ramai agar tidka melakukan apa-apa tindakan yang merosakkan harta-benda.
"Kita semua adalah rakyat Malaysia, justeru tingkah laku sebegini amat menyedihkan dan tidak positif. Keselamatan pekerja kami, yang juga rakyat Malaysia, adalah keutamaan yang terpenting untuk kami.
"Tindakan vandalisme dan keganasan tidak akan membawa apa-apa manfaat malah lebih buruk padahnya. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memperjuangkan Palestin ini dengan daya upaya yang termampu dan bertanggungjawab," katanya.
Beliau turut menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan mereka dengan cara yang bertanggungjawab.
-- BERNAMA
#McDonald's Malaysia #Palestin #Vandalisme #Azmir Jaafar
;